Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Satu akaun di aplikasi TikTok yang dikenali sebagai ‘@sultanhajihassanabolkiah’ dengan menggunakan logo rasmi Jabatan Pembangunan Masyarakat adalah disahkan palsu.
Akaun berbentuk scammer berkenaan telah memuatnaik maklumat palsu mengenai pendaftaran untuk mendapatkan Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) sebanyak $500 dan juga pendaftaran untuk mendapatkan kurnia peribadi KDYMM sempena Hari Raya Aidilfitri.
Jabatan Pembangunan Masyarakat sangat memandang serius terhadap isu penyalahgunaan logo jabatan dan perkara berkenaan telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Jabatan Pembangunan Masyarakat juga ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa maklumat tersebut adalah tidak benar dan jabatan ini tidak berkaitan dengan akaun tersebut dan juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan.
Orang ramai diingatkan bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga tahun atau denda sebanyak $3,000 atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan percaya dan ditegah mengongsikan maklumat-maklumat yang disebarkan melalui aplikasi sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Talian Kebajikan 141 yang beroperasi 24 jam.
Akaun tiktok yang disahkan palsu. – GAMBAR SERAHAN