BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan aktiviti penipuan yang menyalahgunakan mata wang Negara Brunei Darussalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, BDCB telah mengambil perhatian mengenai aktiviti penipuan kewangan yang sedang beredar di media sosial.
Penipuan berkenaan melibatkan video dan gambar yang memaparkan timbunan mata wang Brunei dan menjanjikan bahawa orang ramai boleh mendapat pulangan yang besar dengan menyertai sesi siaran langsung secara dalam talian.
Taktik itu bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan mewujudkan harapan palsu mengenai keuntungan kewangan yang mudah dan terjamin.
BDCB mengingatkan orang ramai bahawa janji-janji sedemikian adalah tidak sah. Tiada skim yang dapat menjaminkan keuntungan tanpa usaha, risiko atau penjelasan yang jelas.
Penipu sering menyalahgunakan imej dan video mata wang Brunei untuk menimbulkan keyakinan palsu dan memperdayakan orang ramai untuk menyertai skim mereka.
BDCB menasihatkan orang ramai untuk berwaspada terhadap tawaran yang indah khabar daripada rupa, tidak sesekali berkongsi maklumat peribadi atau kewangan dengan akaun yang meragukan serta sentiasa melaporkan aktiviti penipuan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat laporan dengan segera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei, di balai polis berhampiran atau menghubungi 993 jika telah menjadi mangsa aktiviti kewangan yang tidak berlesen.
Orang ramai juga boleh memaklumkan pihak BDCB mengenai sebarang entiti/individu yang disyaki menawarkan perkhidmatan kewangan tanpa lesen dengan menghubungi Isu Pengguna Kewangan, BDCB di talian +673 8389997 atau melalui e-mel kepada fci@bdcb.gov.bn.
BDCB dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan, sentiasa memantau aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di negara ini.


