Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Teknologi dan Internet kini pada asasnya telah mengubah kehidupan dan cara interaksi manusia sehingga membawa revolusi digital dan menawarkan peluang pertumbuhan serta pembangunan sosioekonomi.
Namun dengan kemajuan revolusi ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud (gambar) berkata, ia juga telah membawa kepada evolusi generasi ancaman dan risiko baharu sebagai penjenayah, pengganas dan pelampau akan mencuba untuk mengeksploitasi dunia tanpa sempadan Internet untuk tujuan jahat mereka sendiri.
“Jenayah dalam dunia siber adalah menarik kerana kepantasannya tanpa memerlukan nama dan sempadan dan kini terdapat peningkatan dalam penipuan dan pengubahan wang haram yang dijalankan melalui teknologi dalam talian,” jelas Yang Berhormat Dato semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pendakwa Raya ASEAN-China (CAPGC) ke-11 di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.
Penggunaan Internet oleh pengganas dan pelampau untuk menyebarkan propaganda dan memudahkan pengambilan pekerja juga meningkat terutama melalui saluran media sosial.
“Brunei Darussalam juga telah melihat sebahagian daripada ancaman yang ditimbulkan oleh penjenayah siber yang ingin mempromosikan agenda pengganas dan pelampau,” Yang Berhormat Dato menambah lagi.
“Negara kita haruslah sentiasa berwaspada terhadap ancaman siber baharu yang sentiasa berlaku dan meningkat. Perkembangan maklumat yang salah dan kekeliruan melalui berita palsu di Internet dan media yang berkaitan telah dikenal pasti sebagai bentuk jenayah siber baharu yang boleh membahayakan perpaduan sosial dan menjejaskan keselamatan negara,” jelasnya.
Dalam ucapannya juga, Yang Berhormat Dato menjelaskan berita-berita palsu ini bukan sahaja menjadi ancaman terhadap pihak kerajaan tetapi juga kepada kepercayaan masyarakat di antara satu dengan yang lain.
Dengan itu, menurut Yang Berhormat Dato, antara cara-cara untuk mengelakkan perkara ini daripada semakin berkembang dan meningkat, pendidikan di semua peringkat mengenai penggunaan teknologi digital haruslah ditingkatkan di samping meningatkan keselamatan sekuriti.
Pada masa yang sama, ahli-ahli ASEAN juga turut diseru untuk sentiasa bekerjasama untuk melibatkan penyedia media dan Negara Brunei Darussalam telah mengambil beberapa inisiatif untuk menangani jenayah siber.
Inisiatif pertama sekali yang diambil oleh Brunei ialah dengan mengukuhkan penguatkuasaan untuk memastikan negara dan penduduk sentiasa dilindungi; kedua ialah dengan penubuhan kumpulan kerja keselamatan siber bagi menyelaras perkongsian maklumat dan merumuskan tindakan bersama untuk menangani ancaman siber dan keselamatan siber serta membawa kepada penciptaan Rangka Kerja Keselamatan Siber Negara Brunei Darussalam pada tahun 2017 untuk memastikan pertahanan siber negara adalah kohesif dan mantap.
Inisiatif ketiga pula ialah penubuhan kumpulan fokus jenayah siber oleh Pejabat Peguam Negara untuk terus mengkaji dan menyelidik amalan terbaik antarabangsa sambil memastikan undang-undang mematuhi piawaian antarabangsa.
Inisiatif keempat ialah mewujudkan rangka kerja undang-undang yang kuat dalam strategi kebangsaan untuk menangani masalah jenayah siber, undang-undang Negara Brunei Darussalam seperti akta penyalahgunaan komputer dan kanun keseksaan bagi memastikan penjenayah siber dibawa cepat ke muka pengadilan dan dihukum.
Dalam hubungan ini, Brunei menjadi negara pertama di rantau ini mewujudkan rangka kerja perlindungan talian kanak-kanak yang dibina di atas Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam menyokong keutamaan negara dalam melindungi kanak-kanak dan generasi yang muda.
Di samping itu juga, kempen kesedaran awam dan ‘outreach’ program telah dilaksanakan oleh Pejabat Peguam Negara dalam mendidik generasi muda dan menyebarkan mesej pencegahan untuk mengurangkan kerentanan terhadap jenayah siber terutama melalui media sosial.
Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menggalakkan pendakwa raya dan agensi penguatkuasa undang-undang di rantau ini untuk bekerjasama dengan lebih dekat lagi bagi membasmi jenayah siber.