Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Waspada bahaya titik buta

    Sedarkah awda akan titik buta tersembunyi pada kenderaan awda berisiko mencederakan atau membunuh anak kecil?

    Titik buta merbahaya itu terletak betul-betul di hadapan kenderaan dan boleh mengakibatkan pelanggaran hadapan atau front collision.

    APA ITU TITIK BUTA?

    Menurut laman web Carlist Malaysia, titik buta atau blind spot adalah kawasan di sekeliling kenderaan awda yang tidak dapat dilihat oleh pemandu melalui cermin pandang belakang, cermin sisi atau peranti kamera kenderaan yang sedang dipandu.

    Titik buta ini terhasil daripada had reka bentuk kenderaan, yang mana pada kedudukan tertentu, pemandu tidak akan dapat melihat aktiviti sekitar kenderaan dari tempat duduk pemandu.

    DI MANAKAH ZON TITIK BUTA KETIKA AWDA MEMANDU?

    Kebiasaannya, zon titik buta kereta adalah kawasan sebelah pintu depan dan belakang kedua-dua belah kereta awda yang tidak kelihatan pada cermin sisi.

    Amalkan menoleh ke belakang sebelum menukar lorong atau membuat pusingan U. – Carlist Malaysia
    Pastikan tiada kanak-kanak yang bermain di sekeliling kereta awda sebelum memulakan pemanduan. – Freepik
    Teknologi masa kini banyak membantu kita mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya. – Freepik

    Tapi sebenarnya, zon titik buta setiap kereta adalah berbeza dan bergantung kepada beberapa faktor antaranya reka bentuk kereta, jarak pemandu dengan stereng, ketinggian pemandu, ketinggian kereta dan jangkauan cermin sisi kereta.

    Semakin besar dan tinggi kenderaan, semakin besar zon titik buta.

    Di sekolah memandu, kita sememangnya diajar untuk sentiasa menoleh ke belakang untuk memeriksa keadaan sekeliling. Setakat memeriksa cermin sisi tidak memadai.

    Namun, sekolah memandu tidak mengingatkan kita kepada titik buta di bahagian hadapan kereta. Hal ini kerana semasa kita belajar memandu dahulu, kita menggunakan kereta Kancil, jadi mungkin sedikit atau tiada titik buta hadapan.

    TITIK BUTA HADAPAN (FRONT BLIND SPOT)

    Tahukah awda, kenderaan besar seperti lori, bas, van, trak pikap malah SUV mempunyai titik buta hadapan?

    Walaupun awda dapat sudut pandang lebih jauh dan jelas dari dalam SUV misalnya, awda mungkin akan berdepan masalah dalam mengagak posisi hujung hud SUV awda.

    Selain ketinggian dan reka bentuk kenderaan, angka sebenar titik buta hadapan juga bergantung kepada ketinggian pemandu itu sendiri – lebih pendek atau kenit pemandunya, lebih besar kawasan titik buta kenderaannya.

    Sebagai pemandu yang bertanggungjawab, awda harus mengenal titik buta kenderaan awda dan titik buta kenderaan lain di jalan raya untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

    BAHAYA TITIK BUTA HADAPAN

    Kebanyakan kes pelanggaran titik buta yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) adalah kerana ibu bapa tidak menyedari anak mereka sedang bermain di hadapan atau belakang kenderaan.

    Pelanggaran akibat titik buta hadapan ini telah meragut nyawa lebih 931 kanak-kanak di bawah umur dua tahun di AS dari tahun 1990 hingga 2019.

    Menurut pertubuhan advokasi keselamatan KidsAndCars, 80 peratus pelanggaran tersebut melibatkan trak pikap, SUV dan van.

    Satu demonstrasi titik buta hadapan oleh stesen televisyen Indianapolis, WTHR mendapati seorang pemandu yang berada di dalam Chevrolet Tahoe, tidak dapat melihat kanak-kanak yang duduk di hadapan keretanya. Sehingga kanak-kanak yang kesembilan duduk, barulah dia boleh melihat kepala budak lelaki tersebut dari tempat duduk pemandu.

    Titik buta di hadapan SUVnya itu menjangkau hampir tiga meter dari bampar hadapan. Ini membuktikan kenderaan besar seperti SUV mempunyai zon titik buta hadapan yang besar dan boleh mengundang bahaya andai berlaku pelanggaran.

    Di Malaysia, sebelum ini dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun akibat dilanggar dari hadapan (front collision) oleh van ‘sekolah’ yang menghantarnya ke pusat jagaan harian. Kanak-kanak tersebut yang melintas di hadapan van telah dilanggar dan tergilis di bawah van tersebut kerana pemandu van ‘tidak menyedari kanak-kanak itu sedang melintas di hadapan van’.

    Penulisan kali ini tidak mahu menyentuh tentang sikap terburu-buru pemandu van ‘sekolah’ itu dalam menjalankan ‘tugas’nya dan tidak memastikan kanak-kanak itu selamat dalam premis sebelum beredar, sebaliknya, penekanan harus diberikan terhadap bahaya titik buta hadapan ini!

    Jangan jadikan angka kematian sebagai petanda untuk kita semua ‘celik mata’ dalam menangani sesuatu isu. Bukankah mencegah lebih baik dari merawat?

    GUNA SISTEM BSM KERETA ANDA

    Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) mendesak pengeluar kenderaan agar sistem Blind Spot Monitoring (BSM) dijadikan sebuah fungsi wajib dalam kereta untuk menerima lima bintang penuh dalam ASEAN NCAP. Tiada BSM, tiada lima bintang.

    Ini mendorong kebanyakan jenama kereta untuk menawarkan BSM untuk model baharu keluaran mereka antaranya Honda CR-V, HR-V dan Accord, Toyota Vios dan Yaris, malah Perodua Ativa dan Myvi turut dilengkapi BSM bagi varian tertinggi mereka.

    Jika kereta awda dilengkapi BSM, sila rujuk cara mengaktifkan sistem ini kerana sesetengah model dan jenama mempunyai cara pengaktifan yang berbeza. Ada juga sesetengah orang yang tidak tahu akan kewujudan sistem BSM untuk kereta mereka kerana tidak diterangkan oleh penjual kereta, juga sebab namanya mungkin berbeza.

    BSM juga boleh dikenali dengan nama lain seperti Blind Spot Assist, Blind Spot Detection dan bagi Honda, BSM dikenali sebagai Honda Lane Watch. Pening bukan?

    Jika kurang pasti, awda boleh bertanyakan pengedar kenderaan awda atau godek sendiri dalam kereta, ada tak butang BSM? Kebiasaannya, sistem BSM mempunyai sensor pada cermin sisi yang akan berbunyi dan/atau menyala jika ada kenderaan melalui zon titik buta kereta awda.

    Ada juga kereta yang didatangkan bersama kamera 360 darjah yang memberikan sudut pandang sekeliling kereta awda dan ini sangat membantu terutamanya bagi mengesan titik buta hadapan.

    Bagaimana jika kereta awda tidak didatangkan dengan BSM?

    Terdapat pasaran aftermarket yang menjual pelbagai kelengkapan BSM mengikut model kereta awda, pastikan awda mendapatkan khidmat mereka yang pakar dalam pemasangan kamera sebegini bagi mengelakkan sudut pemasangan yang salah untuk kereta awda.

    CARA ELAK NAHAS TITIK BUTA

    Sebelum memandu, pastikan tiada halangan di sekeliling kereta awda secara manual (berjalan keliling kereta) atau menggunakan kamera 360 darjah.

    Semasa memandu, sentiasa periksa cermin pandang belakang dan cermin sisi, dan amalkan menoleh ke belakang sebelum menukar lorong atau membuat pusingan U.
    Gunakan BSM yang ada pada kereta awda untuk perlindungan ekstra.

    Yang penting, harus sentiasa beringat ketika memandu kerana kita tidak mahu menjadi penyumbang kepada kemalangan atau kehilangan nyawa orang lain di jalan raya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...