Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada beli Al-Quran online

    ALOR SETAR, 13 Feb – Orang ramai diminta supaya berhati-hati jika membeli Al-Quran secara dalam talian kerana ada antara naskhah itu tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

    Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah Zaki Mohamed berkata kaedah penjualan Al-Quran dalam talian terutama menerusi media sosial seperti Facebook dilihat semakin berleluasa.

    Beliau berkata, dalam kes terbaharu, pihaknya telah merampas sebanyak 178 naskhah Al-Quran pelbagai saiz bernilai RM23,140 yang tidak ada kelulusan KDN di sebuah premis di Sungai Petani, 7 Februari lepas.

    “Al-Quran yang kita rampas hasil daripada risikan pihak kita ini dijual secara meluas dalam Facebook, dan sememangnya tidak ada kelulusan KDN,” katanya dalam sesi taklimat pengenalan bahagian itu bersama media di sini, hari ini.

    Zaki berkata, naskhah Al-Quran perlu mendapat kelulusan KDN sebelum dijual atau diedar kepada orang ramai bagi memastikan kandungannya disemak terlebih dahulu untuk mengelakkan berlakunya kesalahan termasuk dari segi ayat dan baris yang sekali gus membawa makna yang tidak tepat.

    Zaki Mohamed menunjukkan salah sebuah naskah Al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan KDN pada sesi taklimat pengenalan bahagian itu bersama media di Alor Setar, kelmarin. – Bernama

    “Tidak ada kelulusan KDN ini, kita bimbang ada kandungan salah, boleh diragui. Kita nak jaga kesucian Al-Quran, sebab kita pernah jumpa, bila semak terdapat kesalahan ayat dan baris termasuk ada juga gunakan (tulisan) rumi (untuk ejaan ayat Al-Quran), baris atas ayat Al-Quran, baris bawah rumi.

    “Tulisan rumi ini tidak boleh guna untuk (ejaan) ayat Al-Quran sebab pihak (Majlis) Fatwa Kebangsaan telah pun mengharamkan penggunaan rumi dalam Al-Quran …ada rumi ini kita bimbang lain sebutan membawa makna lain, lari makna,” katanya.

    Sehubungan itu, Zaki momohon pembeli menyemak dahulu Al-Quran yang hendak dibeli itu sama ada mempunyai cop dan hologram KDN atau sebaliknya.

    Beliau berkata pihaknya juga membuat kawalan dan pemantauan pengedaran dan penjualan Al-Quran di pejabat pos di negeri ini dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam setiap hari.

    “Di pejabat pos kita akan cari bungkusan yang ada Al-Quran, bila kita tengok (ruangan tulis item) tulis Al-Quran, kita akan buka untuk semak, bila semak tiada kelulusan KDN, kita akan rampas Al-Quran tersebut.

    Bulan Januari lepas kita telah rampas sebanyak 28 naskhah daripada pemeriksaan kita di pejabat pos di sini.

    “Di ICQS juga kita pantau. Secara purata antara 15,000 hingga 20,000 naskhah Al-Quran yang dicetak dari Thailand dibawa masuk (ke negara ini), dalam sekali masuk untuk jumlah tersebut.

    “Pihak kita akan semak dahulu kandungan Al-Quran itu sebelum diedar dan dijual di Malaysia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda