Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menafikan dakwaan tular yang mengaitkan seorang penjawat awam daripada jabatan berkenaan terlibat dalam tindakan mempersendakan permohonan perumahan kerajaan.
Menurut kenyataan JAPEM, dakwaan berkenaan yang tersebar melalui media sosial seperti Instagram, Facebook, WhatsApp dan Reddit adalah tidak benar dan tidak berasas.
Jabatan turut menegaskan bahawa keselamatan data permohonan yang diterima adalah menjadi keutamaan, di mana semua maklumat dikendalikan secara teratur mengikut prosedur dan tatacara yang telah ditetapkan.
“Pegawai dan kakitangan jabatan ini juga terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (Bab 5 Penggal 153) berkaitan kerahsiaan maklumat kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, JAPEM mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang disebarkan tanpa pengesahan daripada sumber rasmi.
Jabatan juga memandang serius penyebaran dakwaan tidak berasas tersebut dan perkara itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Menurut kenyataan itu lagi, menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan adalah satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda sebanyak $3,000 atau kedua-duanya sekali.
JAPEM turut menyeru orang ramai untuk lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta menghormati sensitiviti dan etika dalam menyampaikan maklumat.
