Tuesday, December 31, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada cuaca diramal aktif hingga awal Januari

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan masih aktif bermula kelmarin, 28 Disember sehingga 3 Januari 2025 dengan hujan lebat dan berpetir dijangka berlaku sekali-skala menjejaskan kebanyakan kawasan persisiran dan perairan negara pada waktu pagi dan malam serta di kawasan pedalaman negara pada waktu petang dengan kelajuan angin sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan.

    Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, antara 0.5 sehingga 1.8 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam Monsun Timur Laut yang pada lazimnya akan berterusan sehingga sekitar hujung Mac 2025.

    Semasa tempoh separuh pertama Monsun Timur Laut, iaitu sehingga Januari 2025, yang mana juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut iaitu Februari 2025 dan Mac 2025, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang dengan keadaan laut di paras sederhana adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Selain itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX.

    Maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWewather.

    Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda