Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada, hindari produk kesihatan tercemar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan satu produk kesihatan yang didapati dicemari dengan bahan-bahan terlarang/ bahan racun berjadual yang tersenarai di dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Makmal Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa produk kesihatan yang dicemari tersebut ialah HKT Fatz Blocker yang mana produk berkenaan didapati dicemari oleh sibutramine.

    Bahan dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Sibutramine ialah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati. Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan sebaliknya yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur serta dalam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

    Kementerian Kesihatan juga tidak pernah mengeluarkan kebenaran untuk mengimport penjualan produk berkenaan. Berikutan dengan itu, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan negatif dan merasa tidak sihat selepas memakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya adalah diingatkan bahawa ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan boleh didenda sebanyak $8,000 atau penjara 6 bulan, jika didapati bersalah.

    Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.

    Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2393301 sambungan 208, menghantar e-mel ke pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus dengan pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    HKT Fatz Blocker, produk yang didapati tercemar. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda