Waspada hujan lebat dua hari

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Negara Brunei Darussalam masih berada dalam monsun peralihan iaitu keadaan cuaca yang aktif terutamanya pada waktu petang dan malam.

Walau bagaimanapun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hujan berintensiti lebat diramalkan berlaku pada 12 dan 13 November disebabkan oleh pembentukan awan hujan dan ribut petir yang aktif di negara ini. Hujan dan ribut petir dijangka sekali-sekala lebat dan berangin dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kilometer sejam (kmsj).

BDMD sehubungan itu menasihatkan orang ramai mengambil langkah-langkah awal akan kejadian hujan berintensiti lebat yang diramalkan berlaku. Risiko berlakunya banjir dan banjir kilat adalah tinggi terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari satu jam dan ketika kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.

Selain itu, pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.