Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada iklan tawaran pinjaman wang tidak berlesen

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) menyatakan bahawa pihaknya tidak mempromosikan sebarang perkhidmatan kewangan dan menasihati orang ramai untuk berwaspada terhadap iklan-iklan seumpama itu, yang kebanyakannya mengandungi nama dan logo BDCB tanpa kebenaran BDCB bagi memberikan legitimasi (kesahihan) kepada perniagaan berkenaan.

    BDCB dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan baru-baru ini, pihaknya mengambil maklum terdapat sesetengah akaun Facebook yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang kepada orang ramai dan secara tidak jujur mendakwa telah dipromosikan oleh BDCB dengan menyalahgunakan imej kakitangannya, logo dan nama BDCB.

    Sesiapa yang menjalankan perniagaan sebagai peminjam wang adalah diperlukan untuk dilesen oleh BDCB di bawah Akta Peminjam Wang, Bab 62. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 8(1) Akta Peminjam Wang bagi sesiapa untuk menjalankan perniagaan sebagai peminjam wang tanpa lesen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda serta dipenjarakan.

    Dalam hubungan itu, BDCB akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang peminjam wang yang tidak berlesen dan ingin menekankan bahawa mana-mana pihak yang menggunakan perwakilan, reka bentuk, lambang atau nama BDCB tanpa kebenaran bertulis atau menggunakan perwakilan, reka bentuk, lambang atau nama menyerupai atau sama dengan perwakilan, reka bentuk, lambang atau nama BDCB dengan niat menipu atau menyebabkan kekeliruan atau boleh menyebabkan kekeliruan atau penipuan, adalah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 74A, Perintah BDCB, 2010 di mana ia membawa hukuman denda tidak melebihi $20,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

    BDCB menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan entiti dalam talian tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang atau kewangan. Berurusan dengan entiti-entiti seumpama itu, memberikan risiko kepada kesejahteraan dan kewangan seseorang disebabkan oleh kadar faedah yang tinggi yang sering dikenakan dan taktik pemulihan hutang mereka yang agresif.

    Di samping itu, penipu boleh menyamar sebagai entiti berkenaan dan berpura-pura untuk menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tetapi sebenarnya memancing data untuk mendapatkan maklumat kewangan dan peribadi, dengan mendapatkan seseorang untuk memasang aplikasi berniat jahat pada peranti peribadi.

    Oleh itu, BDCB turut menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat kewangan dan peribadi dengan sebarang pihak ketiga termasuk rakan dan keluaga terdekat. Ia adalah amat penting untuk sentiasa menjamin keselamaran peranti pintar supaya mengelakkan daripada akses tidak dibenarkan dan kecurian maklumat yang boleh membawa kepada kehilangan kewangan.

    Gambar Freepik

    Di samping itu, mereka yang ingin mendapatkan pembiayaan atau pinjaman adalah dinasihatkan untuk hanya berurusan dengan insititusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB seperti syarikat-syarikat kewangan dan bank.

    Orang ramai yang memilih untuk berurusan dengan entiti, syarikat atau individu yang tidak dilesenkan dan dikawal selia oleh BDCB tidak akan mempunyai perlindungan disediakan di bawah rangka kerja pengawalseliaan BDCB.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan senarai institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB serta BDCB Alert List, mereka boleh melayari laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.

    Sebarang entiti atau individu yang disyaki menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tidak berlesen, orang ramai boleh menghubungi Isu Kewangan Pengguna BDCB di talian, +673838007 atau e-mel, fci@bdcb.gov.bn.

    Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk membuatk laporan ke Pasukan Polis Diraja Brunei dengan segera di balai polis yang berhampiran atau menghubungi 993 jika mereka menjadi mangsa kepada kegiatan haram berkenaan.

    BDCB dengan kerjasama pihak penguatkuasaan relevan yang lain akan terus memantau sebarang kegiatan kewangan tidak berlesen atau mencurigakan di negara ini.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda