Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada individu menyamar petugas JAPEM kutip derma

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Seorang lelaki yang mendakwa sebagai petugas Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan mengutip derma menggunakan nama Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 didapati tidak mempunyai kaitan langsung dengan jabatan berkenaan, menurut kenyataan rasmi JAPEM hari ini.

    JAPEM telah mengesahkan menerima aduan daripada orang ramai melalui Talian Kebajikan 141 yang melaporkan mengenai tindakan individu berkenaan mengaku diarahkan oleh pihak jabatan untuk menjalankan kutipan derma kepada orang awam adalah sesuatu yang disifatkan sebagai tidak benar dan palsu sama sekali.

    Sehubungan itu, JAPEM menegaskan bahawa jabatan berkenaan tidak pernah melantik atau mengarahkan mana-mana individu atau agensi untuk melaksanakan kutipan bagi Tabung Kemanusiaan berkenaan tanpa kebenaran rasmi.

    Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan kutipan yang meragukan, serta tidak berkongsi butiran peribadi atau menyerahkan derma kepada pihak yang belum dapat dipastikan kesahihannya.

    JAPEM memandang serius isu penyamaran ini dan turut mengingatkan orang ramai bahawa menyebarkan maklumat tidak sahih apatah lagi yang direka untuk mengelirukan, adalah satu kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, Seksyen 34.

    Jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda $3,000 atau kedua-duanya sekali.

    Bagi mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan, permohonan kebenaran hendaklah terlebih dahulu dikemukakan kepada JAPEM selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 dengan syarat 100 peratus hasil kutipan bersih disalurkan kepada tabung tersebut.

    Bagi individu, persatuan atau agensi berdaftar yang ingin menderma sebahagian sahaja daripada hasil kutipan bersih yang diperolehi melalui aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk terlebih dahulu memohon kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau melaporkan sebarang isu kebajikan boleh menghubungi Talian Kebajikan 141, yang dikendalikan 24 jam oleh JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Platform rasmi ini disediakan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil serta mengelakkan penyebaran berita palsu dan maklumat tular yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Antara kutipan yang telah dijalankan oleh individu berkenaan.- GAMBAR SERAHAN JAPEM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda