Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada keadaan cuaca semasa

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam monsun timur laut dan keadaan ini dijangka akan berterusan sehingga hujung bulan Mac 2024.

    Dalam tempoh dua bulan pertama monsun timur laut iaitu bulan Disember 2023 dan Januari 2024, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini, Ribut Tropika (TS) Jelawat dikesan di kawasan laut tenggara Filipina, sekitar 1,600km dari Negara Brunei Darussalam.

    TS Jelawat diramalkan bergerak ke arah barat namun masih jauh dari Brunei, tetapi dijangka dengan secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan cuaca di negara ini.

    Keadaan sedikit berangin dijangka berlaku bagi beberapa hari akan datang dengan hujan atau hujan berpetir serta angin kencang berpotensi berlaku terutama di kawasan laut dan pesisiran.

    Gambar Envato Elements

    Kelajuan angin meningkat sehingga 50kmsj manakala keadaan laut pada amnya berombak dengan ketinggian ombak di antara 0.8m dan 1.6m.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko tinggi berlakunya pokok tumbang dan kemungkinan kejadian tanah susur semasa keadaan berangin dan hujan lebat.

    Risiko banjir kilat juga boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda