Sunday, February 2, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada kemunculan buaya

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Berikutan video tular berdurasi 29 saat di media sosial baru-baru ini yang memperlihatkan seekor buaya merangkak di atas sebatang jalan raya, Ketua Kampung Junjongan telah mengingatkan penduduk kampung yang tinggal atau menggunakan jalan tersebut untuk meningkatkan kewaspadaan semasa melaluinya.

    Semasa temu bual pihak Media Permata, Ketua Kampung Junjongan di Mukim Pengkalan Batu, Haji Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang mengongsikan bahawa kejadian yang menyaksikan haiwan liar berukuran panjang lebih 2 meter itu melintasi jalan di kawasan tersebut bukanlah kali pertama berlaku.

    “Ia merupakan perkara alami dan semula jadi di mana sungai merupakan tempat habitat buaya.

    “Apa yang dapat dilakukan ialah agar pengguna jalan raya sama ada yang berjalan kaki atau beriadah di sana supaya berhati-hati.

    “Pada masa yang sama diharapkan juga agar pihak berkenaan supaya dapat membina papan tanda amaran bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya tersebut mengenai kemungkinan kehadiran haiwan liar tersebut di kawasan itu,” ujar beliau.

    Dalam satu hantaran teks pesanan ringkas yang dikongsikan oleh Ketua Kampung Junjongan di laman media sosial, WhatsApp turut menjelaskan bahawa kejadian itu telah pun dimaklumkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Bahagian Hidupan Liar.

    “Sehubungan dengan itu dipohonkan kerjasama biskita semua supaya sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan berkenaan,” nasihatnya.

    Gambar tular di media sosial yang memperlihatkan seekor buaya merangkak di sebatang jalan raya di Kampung Junjongan baru-baru ini. – Gambar sumber WhatsApp

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda