Wednesday, November 20, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada kemunculan buaya di perairan Kampong Ayer

    Oleh Syahmi Hassan

    Kemunculan kelibat buaya di kawasan kediaman manusia semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini berbanding 10 tahun yang lalu, sehinggakan menimbulkan kerisauan terutamanya bagi mereka yang tinggal di Kampong Ayer.

    Baru-baru ini saja, tular satu video yang dipercayai berlaku di Kampung Bolkiah memaparkan seekor buaya yang hampir membaham seekor kucing yang berada di atas sebuah perahu.

    “Cuba bayangkan kalau ada kanak-kanak di sekitar kampung itu jatuh ke dalam air ketika bermain. Apa akan terjadi?” demikian yang diungkapkan oleh salah seorang penduduk Kampung Bolkiah A, Awang Suhardi bin Awang Mahmud ketika ditemu bual Media Permata.

    Tambahnya, di kawasan sekitar kampung itu sememangnya kelibat buaya mudah dikesan terutamanya pada waktu malam tidak kira di mana-mana anak tangga dan juga di bawah rumah.

    Di negara ini, dipercayai mempunyai dua jenis buaya iaitu buaya katak, yang juga dikenali sebagai crocodylus porosus atau saltwater crocodile. Jenis buaya yang lain pula ialah buaya penjulung atau dikenali sebagai tomistoma schlegelii.

    Kelibat buaya berukuran besar ditemui berada di salah satu kawasan penurunan perahu di Kampong Ayer. – Gambar Instagram crocs_in_brunei
    Awang Suhardi menasihatkan untuk sentiasa mengawasi anak-anak mereka ketika berada di kawasan sungai.
    Dayang Siti Imasuhidah ketika ditemui penulis, baru-baru ini.

    Apabila ditanya adakah keberadaan buaya di sana sememangnya dari dahulu lagi atau tidak, Awang Suhardi menjelaskan sebelum ini tidak begitu banyak tetapi dipercayai kini banyak membiak di kawasan Kampong Ayer.

    “Ketika dahulu, keberadaannya hanya di ulu-ulu sungai sahaja seperti di Sungai Damuan iaitu di hujung kawasan Istana Nurul Iman dan di kawasan Kampung Menunggol menuju ke kawasan sungai negara jiran Malaysia (Limbang).

    “Namun tidak disangka-sangka, tahun demi tahun buaya-buaya itu cepat membiak dan keberadaannya kini di seluruh Kampong Ayer,” jelasnya.

    Menurutnya, perkara tersebut menjadi kebimbangan beliau dan seluruh penduduk Kampong Ayer.

    “Pada masa dahulu, anak-anak di Kampong Ayer selalunya akan mandi-manda selepas balik dari sekolah dan ketika hari cuti sekolah. Tapi kini nampak perbezaannya tidak semeriah seperti ketika dahulu sebab terlalu bahaya kerana keberadaan buaya,” tambahnya.

    Menurut Awang Suhardy, inilah salah satunya sebab Kampong Ayer tidak semeriah seperti satu ketika dahulu, di mana para pelancong yang meronda menaiki perahu tambang, boleh menyaksikan gelagat anak-anak Kampong Ayer bermandi-manda, terjun dari atas jambatan ke dalam air.

    Dalam kesempatan ini juga, beliau menasihatkan kepada orang ramai khususnya penduduk Kampong Ayer untuk sentiasa mengawasi anak-anak mereka.

    “Jangan biarkan anak-anak turun di anak-anak tangga bersendirian. Bagi pelancong-pelancong yang menaiki perahu tambang adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada,” tambahnya.

    Manakala salah seorang lagi penduduk Kampong Ayer, Dayang Siti Imasuhidah binti Matali, 36, ketika ditemu bual menjelaskan buaya-buaya ini sememangnya dari dahulu sudah banyak di negara ini, tetapi sejak kebelakangan ini binatang tersebut semakin berani muncul di kawasan kediaman manusia.

    “Mungkin disebabkan jumlahnya semakin banyak dan kawasan habitat semakin terhad,” kata beliau yang tinggal di Kampung Menunggol Laut.

    “Nelayan banyak yang khuatir kerana masalah ini namun mengelakkannya bukanlah satu pilihan sebab sungai adalah sumber mata pencarian mereka. Malah yang tinggal di kawasan berdekatan air juga berasa takut untuk turun ke sungai,” jelas Dayang Siti Imasuhidah.

    Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai untuk sentiasa peka dan berhati-hati serta perhatikan terlebih dahulu kawasan sekeliling ketika berada berhampiran dengan sungai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda