Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada kes penipuan pekerjaan luar negara

    KUALA LUMPUR – Ia bermula pada Ogos tahun lepas dengan sebuah iklan di Facebook yang menawarkan gaji lumayan (disebabkan kadar tukaran asing) untuk pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran di Singapura.

    Adam Iskandar, Nur Akmar Hamsan, Nur Fitriani Abdullah dan Kamil Abdul Hamid memohon pekerjaan itu kerana percaya dengan gaji yang dijanjikan iaitu sebanyak AS$1,100 sebulan, mereka akan dapat membantu keluarga atau menyara diri sendiri.

    Namun, yang berlaku ialah mereka menjadi ‘tahanan’ di KK Garden, sebuah penempatan besar di Myawaddy, Myanmar.

    Berbulan-bulan mereka di situ bekerja sebagai penipu dalam talian. Menerusi mesej yang dihantar secara sembunyi-sembunyi, mereka meminta bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan di kampung halaman.

    Mangsa yang diselamatkan memberitahu jumlah rakyat Malaysia di KK Garden, hos beberapa pusat penipuan yang didakwa dioperasikan oleh gengster dari China, meningkat kepada sekitar 1,000 orang sejak beberapa tahun belakangan ini.

    Sim Chon Siang (empat dari kanan) bersama ahli perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Bangkok, Wong, yang juga dikenali sebagai Muhammad Shaifuddin Lai Abdullah (kanan) dan media sedang bercakap dengan lima mangsa pemerdagangan manusia warga Malaysia selepas mereka diselamatkan daripada pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar. – Gambar Bernama
    Lorong tikus di Mahawan di tepi Sungai Moei; di mana buaya dilaporkan dilihat dan bertindak sebagai ‘halangan semula jadi’ dalam menghalang mangsa pemerdagangan manusia daripada melarikan diri dari Myanmar ke Thailand. – Gambar Bernama

    Sepanjang berada di sana, kumpulan anak muda itu tertanya-tanya bagaimana mereka boleh menjadi mangsa penipuan pekerjaan dan pemerdagangan orang.

    Di manakah red flag atau tanda-tanda amarannya? Di mana silap mereka?

    Adam, 20 dan Akmar, 19 yang mempunyai adik-beradik yang ramai – 15 orang jika digabungkan kedua-duanya, tidak melihat sendiri iklan itu. Sebaliknya mereka mempercayai rakan mereka, Muhd Farhan Azman yang dianggap ‘pakar’ dalam bab bekerja di luar negara, yang memberitahu ada pekerjaan untuk mereka di Singapura.

    “Kami dapat tawaran ikut Farhan. Sebelum ini dia pernah kerja Singapura, jadi kami pun percayalah,” kata Akmar.

    Bagaimanapun, Farhan juga terjebak dalam tawaran pekerjaan palsu yang memerangkap Nur Fitriani dan Kamil. Farhan diselamatkan pada Disember lepas.

    Seperti yang semakin diketahui, penipuan pekerjaan yang berserta pemerdagangan manusia membabitkan rakyat Malaysia semakin parah, mengancam keselamatan dan pertumbuhan negara jika tidak dikawal. Setakat 20 Februari lepas, pihak berkuasa menerima 572 laporan berhubung penipuan pekerjaan di luar negara.

    Selama bertahun-tahun Malaysia, dengan populasinya yang celik Internet dan berkemahiran berbahasa Inggeris selain ketersediaan penutur bahasa Cina, adalah destinasi bagi pekerja migran, bukan negara sumber.

    Kini, keadaan sudah berubah dan penularan COVID-19 dipercayai adalah antara puncanya.

    Ketika sekatan pergerakan global dilaksanakan, amat mudah untuk memperdaya rakyat Malaysia dan mengumpan mereka ke pusat penipuan yang terletak di Kemboja, Laos dan Myanmar.

    Pemberhentian pekerja yang dilaksanakan oleh banyak syarikat menyebabkan semakin ramai yang hidup dalam kesempitan, sementara sekatan pergerakan pula memudahkan aktiviti penyeludupan manusia dari Malaysia ke Myanmar kerana tidak banyak mata memerhati.

    Pakar mengusulkan strategi yang menumpukan pada pencegahan berserta mekanisme jelas yang menggariskan prosedur yang perlu dipatuhi oleh perekrut dan pencari kerja, serta sistem sokongan untuk mangsa.

    Tanda amaran

    Adam dan Akmar menyangka mereka telah cukup berhati-hati semasa menerima tawaran kerja daripada Farhan. Sangka mereka semuanya okey: perekrut memberikan wang sebanyak RM1,700 untuk mereka membuat pasport dan membeli keperluan sebagai persediaan hidup di luar negara.

    Namun, apabila sampai di lapangan terbang, mereka ‘menerima’ red flag pertama.

    Destinasi mereka bukan lagi Singapura tetapi Bangkok, Thailand. Perekrut meyakinkan mereka bahawa itu perkara biasa.

    “Pekerjaan sebagai jurukemas di hotel di Singapura sudah dipenuhi, tapi jangan bimbang ada hotel di Thailand yang perlukan pekerja,” kata ejen itu.

    Ketibaan Adam dan Akmar di Bangkok disambut oleh ejen daripada syarikat yang kemudian mengiringi mereka ke sebuah van.

    Dari situ, lebih banyak red flag muncul. Mereka sentiasa dikawal ketat, dan pada penghujung perjalanan, tugas mengawal mereka diambil alih oleh individu berpakaian seragam dan bersenjata.

    Selepas tiba di Mae Sot, sebuah bandar di sempadan Thailand-Myanmar, mereka menyeberangi Sungai Moei de-ngan bot ke KK Garden.

    “Masa tu kita orang dah jangka macam kena jual, ke apa kan… masa tu dah memang tak boleh buat apa, dah datang ke tempat orang. Duit pun masa tu cukup-cukup saja, jadi ikut sajalah,” kata Akmar.

    Pentingnya tanda amaran ini ialah peluang untuk mangsa melarikan diri. Namun, mangsa perlu mengenal pasti tanda-tanda tersebut.

    Pakar yang dihubungi Bernama berkata red flag wujud sebelum pertukaran destinasi pada saat-saat akhir berlaku, iaitu iklan pekerjaan itu sendiri.

    “Satu daripadanya ialah penjelasan tentang pekerjaan yang samar-samar. Tidak ada maklumat lanjut, cuma ada ‘hubungi kami jika awda berminat’,” kata Judah Tana, aktivis antipemerdagangan manusia daripada badan amal Advance Projects, sebuah badan bukan kerajaan dari Australia.

    Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA), Zarina Ismail bersetuju, dan berkata perekrut sebenar akan menyertakan perincian pekerjaan dan latar belakang majikan.

    “Contoh di Facebook. Macam mana dia nak iklan di Facebook tu… dia mesti sertakan nama syarikat, gaji dia, jawatan apa, di mana tempat syarikat tu.

    “Jadi, bila macam tu, kita boleh hubungi, (boleh e-mel), boleh tanya ‘Betul ke ada kekosongan jawatan?’,” katanya.

    Tambah beliau, satu lagi tanda amaran ialah ketiadaan surat tawaran pekerjaan dengan nama dan alamat syarikat, jawatan serta gaji yang ditawarkan.

    Tanda amaran lain ialah keperluan pasport antarabangsa untuk mengembara dan bekerja di negara asing, yang mana ada sesetengah mangsa terlepas pandang seperti kes Nur Fitriani dan Kamil.

    Selepas mereka bersetuju menerima pekerjaan itu, ejen memberitahu yang mereka tidak perlukan pasport.

    Seperti mangsa lain yang berdepan situasi sama, mereka berkata mereka percayakan perekrut mereka.

    “Macam mana ini boleh berlaku? Paling tidak pun awda sepatutnya tahu bahawa untuk ke luar negara awda perlukan pasport antarabangsa,” kata Adrian Pereira, Pengarah Eksekutif North-South Initiative, dengan nada kesal.

    Pencegahan

    Menurut pakar, disebabkan kegiatan itu dilakukan secara dalam talian serta membabitkan rentas sempadan, bermakna dalang sebenar tidak perlu turun padang.

    Sebaliknya, dalang hanya mengarahkan ‘bala tentera’ mereka melalui Internet dari lokasi yang terletak ratusan atau ribuan batu jauhnya.

    Pakatan rahsia dengan ahli politik menyebabkan kegiatan itu semakin sukar untuk dikesan.

    Justeru, mencegah orang ramai daripada terjebak dalam sindiket penipuan itu adalah penyelesaian terbaik, namun untuk melaksanakannya perlukan usaha keras.

    Sekalipun ramai daripada mangsa ini mungkin naif, jahil atau terlalu mempercayai, ada juga yang sudah mengambil segala langkah wajar namun masih terperangkap. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa, tidak kira tahap pendidikannya atau luas pengalaman, kata aktivis.

    Antara sebab ini berlaku ialah kebanyakan perekrut adalah orang-orang yang mereka percayai.

    “Kebanyakan penyeludupan manusia dilakukan oleh pihak ketiga, iaitu ejen dalam negara itu sendiri. Bukan warga China yang datang dan tawarkan kerja kepada awda, tetapi orang tempatan, orang Malaysia sendiri, inilah yang membuatkannya lebih sukar,” kata Tana.

    Sehubungan itu, sekalipun tawaran kerja itu sendiri adalah tanda amaran, orang yang merekrut merupakan rakan mereka – seperti kes Adam dan Akmar, menyebabkan tidak ada yang mempersoalkannya.

    Dalam konteks ini, jawapannya adalah kesedaran yang lebih tinggi.

    Tana menyarankan agar pihak berwajib menerima guna kaedah yang digunakan oleh sindiket bagi menyebarluaskan amaran dan pengetahuan tentang red flag.

    “Maklumat dan teknologi… kita perlu guna media sosial untuk menentang mereka. Kita perlu mulakan kempen yang boleh tular,” sarannya.

    Tambah beliau, menularkan kempen kesedaran dengan gimik seperti cabaran ‘Ice Bucket’ serta tanda pagar aktivisme seperti Black Lives Matter dan Me Too antara yang boleh dilakukan.

    Zarina pula berpendapat kerajaan perlu mewajibkan perekrut dalam talian mempamerkan nombor lesen bersama iklan mereka selain perincian tentang pekerjaan dan majikan.

    Beliau berkata harus ada rangka kerja yang perlu dipatuhi oleh pencari kerja sebelum berlepas ke luar negara, seperti mewajibkan pengesahan daripada kedutaan bahawa syarikat itu wujud.

    Tambah beliau, pekerja Malaysia di luar negara harus mendaftarkan diri mereka dengan agensi pekerjaan yang berlesen dengan Kementerian Sumber Manusia yang boleh memberikan maklumat dan bantuan kepada pekerja Malaysia di seberang laut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda