Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada lelaki India menyamar tukang tilik

    15 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 7 Februari 2002 – Orang ramia perlu berwaspada jika didatangi dua orang yang mendakwa mereka warga India dan mengaku sebagai tukang tilik.

    Menurut sumber, kedua-dua warga India itu kononnya boleh meramalkan masa depan seseorang dan sebagai upah, pelangga dipaksa mendermakan wang yang menurut mereka untuk tabung orang miskin dan kanak-kanak India.

    Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, kedua-dua lelaki itu mengunjungi pejabatnya minggu lalu dengan salah seorang daripada lelaki India itu berambut panjang diikat ke belakang. Menurutnya, lelaki India itu mendakwa mereka mempunyai ramai anak angkat miskin dan juga membina sebuah sekolah bagi golongan susah di negaranya.

    Beliau yang bertugas di salah sebuah syarikat swasta di Kampung Kiarong memberitahu lelaki berkenaan membuat tilikan dengan melihat rupa bentuk lidah mangsa dan kemudian mengajukan beberapa soalan mengenai dirinya dalam masa dua tahun lalu.

    Kemudian lelaki itu mencatat sesuatu di atas kertas dan meletakkannya di atas tapak tangan kiri mangsa dan seterusnya menyoal bintang kelahirannya.

    “Selepas itu saya diminta memilih nombor kesukaan saya antara satu hingga lima dan memberitahu tarikh lahir saya,” katanya.

    Beberapa minit kemudian, lelaki India itu memberitahu apa yang beliau tulis di atas kertas sebentar tadi bersamaan dengan jawapan yang diberikan oleh mangsa dan ini bererti mangsa mempunyai masa depan yang menjanjikan kebaikan.

    Lelaki berambut panjang itu kemudian mempamerkan fail menunjukkan ucapan penghargaan daripada pelanggan di atas ramalan mereka yang kebanyakan terdiri daripada orang kenamaan Malaysia.

    Siti menambah, lelaki itu juga mempunyai tiga kad nama warga tempatan dan pada salah satu kad itu pemilik menulis ” Wang ini didermakan bagi tabung kanak-kanak miskin India dengan jumlah $900.”

    Selepas menunjukkan kad berkenaan, lelaki itu meminta mangsa memberikan wang derma bagi tujuan yang sama.

    Lebih menghairankan lagi, lelaki berkenaan turut meminjam telefon mangsa kerana perlu menghubungi anak mereka yang didakwanya sakit di India. Selepas menghubungi mereka, kedua-dua lelaki itu terus bergegas meninggalkan pejabat mangsa.

    Kejadian yang sama juga terjadi kepada seorang wanita, yang memaksa mangsa untuk mengeluarkan wang dari bank untuk didermakan. Tetapi wanita berkenaan menolak permintaan mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda