Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menafikan maklumat yang tular di aplikasi TikTok melalui akaun palsu yang menggunakan nama ‘@skn.gov.brunai7’ dan logo rasmi Sistem Kebajikan Negara (SKN).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JAPEM menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendaftaran dan kelayakan Bantuan Khas SKN sebagaimana yang dimuat naik oleh akaun berkenaan.
Pihak jabatan juga menekankan bahawa akaun tersebut tidak mempunyai kaitan langsung dengan mana-mana saluran rasmi kerajaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang disebarkan melalui platform media sosial, terutamanya jika kesahihannya belum dipastikan.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak berkongsi butiran peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali atau belum dipastikan ketulenannya.
JAPEM turut memandang serius terhadap penyalahgunaan logo rasmi jabatan yang digunakan tanpa kebenaran dan menyatakan bahawa perkara ini telah dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi siasatan lanjut.
Dalam kenyataan berkenaan, JAPEM turut mengingatkan bahawa menyebarkan maklumat tidak sahih, lebih-lebih lagi yang berbentuk palsu dan rekaan yang boleh mengelirukan orang awam, merupakan satu kesalahan di bawah perundangan negara.
Di bawah Seksyen 34, Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, mana-mana individu yang menyebarkan kenyataan atau laporan yang salah sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga (3) tahun, denda $3,000, atau kedua-duanya sekali.
Sebarang pertanyaan atau laporan berkaitan isu kebajikan awam bolehlah disalurkan melalui Talian Kebajikan 141, yang beroperasi 24 jam. JAPEM menggalakkan orang ramai untuk menggunakan platform rasmi ini bagi memastikan setiap isu ditangani dengan berkesan dan pantas, serta mengelakkan penularan maklumat palsu yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
Semua di atas : Antara tangkap layar menunjukkan akaun palsu berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JAPEM