Wednesday, February 26, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada mesej palsu menyamar petugas KKBS

    Oleh: Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan mempercayai maklumat-maklumat yang disampaikan melalui aplikasi sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

    Ini adalah kerana susulan satu mesej yang dihantar menggunakan nombor talian 7345109 ke aplikasi WhatsApp, yang menyamar sebagai petugas Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang mengarahkan orang tertentu untuk membuat kad anak yatim dengan mengenakan caj bayaran sebanyak $3 ke nombor akaun 00001021441991 di bawah nama ‘Cucu Wastani’.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) memaklumkan kepada orang ramai bahawa mesej yang dihantar menggunakan nombor tersebut adalah tidak benar dan jabatan berkenaan tidak pernah mengeluarkan mesej tersebut.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengongsikan butiran peribadi kepada pihak tertentu yang belum dipastikan kesahihannya.

    JAPEM dalam kenyataannya juga memandang serius terhadap isu penyamaran ini dan turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, Seksyen 34.

    Akta tersebut menjelaskan sesiapa yang menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga tahun atau denda sebanyak $3,000 atau kedua-duanya sekali.

    Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JAPEM, KKBS melalui Talian Kebajikan 141 yang beroperasi 24 jam jika ingin melaporkan sebarang isu-isu yang melibatkan kebajikan dan kemaslahatan orang ramai.

    Platform rasmi itu adalah untuk memastikan maklumat dan isu yang diadukan akan diambil tindakan dengan segera dan berkesan serta mengelakkan daripada penyebaran berita-berita palsu dan berita tular yang mungkin dapat mengganggu ketenteraman awam dan juga disalahgunakan.

    Antara mesej palsu yang meminta bayaran dan menyamar sebagai petugas KKBS. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda