Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) memaklumkan kepada orang ramai mengenai panggilan penipuan yang menyasarkan pelanggannya, dengan menipu menggunakan pelbagai taktik untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan yang sensitif.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, orang ramai diingatkan agar berwaspada mengenai panggilan mencurigakan yang melibatkan beberapa pendekatan menipu, kesemuanya direka untuk menipu individu supaya mendedahkan butiran peribadi seperti nombor kad pengenalan dan maklumat perbankan.
Matlamat pemanggil adalah untuk memujuk pelanggan mendedahkan maklumat kewangan dan peribadi, meletakkan mereka dalam risiko kecurian identiti yang boleh membawa kepada kerugian kewangan.
Penipu-penipu berkenaan akan menggunakan beberapa taktik termasuk menyamar sebagai wakil BIBD dan mendakwa sedang menelefon mengenai isu atau transaksi pada akaun pelanggan.
Mereka kemudiannya akan meminta maklumat peribadi pelanggan dengan berpura-pura ‘menyelesaikan’ isu berkenaan.

Mereka juga akan memikat pelanggan dengan promosi kad kredit palsu dengan alasan berpeluang memenangi hadiah. Untuk mengambil bahagian atau menuntut ganjaran itu, mangsa diperdaya untuk berkongsi pengenalan peribadi dan maklumat perbankan mereka sebagai sebahagian daripada proses permohonan palsu.
Sesiapa yang menerima komunikasi mencurigakan berkenaan adalah dinasihatkan segera melaporkan insiden berkenaan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei serta mengesahkan kesahihan sebarang permintaan dengan menghubungi terus BIBD menerusi saluran rasmi atau berkunjung ke cawangan terdekat.
BIBD menggesa orang ramai tidak menjawab atau berkongsi sebarang maklumat peribadi atau perbankan dengan pemanggil yang tidak dipinta.
Pihak bank juga tidak akan sekali-kali meminta maklumat sensitif seperti kata laluan, PIN atau butiran perbankan penuh melalui panggilan telefon, mesej atau e-mel yang tidak disahkan.
Sebagai komitmen terhadap keselamatan dan privasi pelanggannya, BIBD menggesa semua orang untuk terus berwaspada dan membantu menyebarkan kesedaran demi melindungi masyarakat daripada penipuan yang berterusan itu.

