BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Telekom Brunei Berhad (TelBru) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan palsu yang mengaku kakitangan TelBru untuk mendapatkan dokumen peribadi.
Dalam kenyataannya hari ini, TelBru mengingatkan orang awam yang menerima panggilan sedemikian supaya tidak memberikan data sensitif yang termasuk, tidak terhad kepada, butiran akaun perbankan dan data yang mungkin mendedahkan pengenalan peribadi individu termasuk nama, tarikh lahir, nombor pasport dan nombor kad pengenalan.
Berdasarkan maklum balas orang ramai, TelBru berkata, modus operandi tersangka pelaku berkenaan termasuk menghubungi mangsa menerusi telefon rumah, dipercayai memaklumkan mangsa bahawa perkhidmatan telefon mereka telah digodam, kemudian mengarahkan mangsa untuk memuat turun apa yang dikatakannya aplikasi anti penggodaman ke komputer peribadi mereka dan seterusnya meminta butiran kad debit mangsa.
TelBru menegaskan bahawa mereka mengambil serius penipuan sebegini dan secara aktif melaksanakan pelbagai langkah keselamatan untuk melindungi pelanggannya daripada sebarang dan semua kejadian tidak disangka.
Mereka yang menerima panggilan sedemikian digesa untuk memaklumkan TelBru dengan menghubungi talian khidmat pelanggan 111 atau menerusi pelbagai platform media sosialnya.