Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Bank Baiduri hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai panggilan palsu membabitkan individu yang menyamar sebagai kakitangan bank dan pihak penguat kuasa undang-undang untuk menipu orang awam.
Menurut kenyataan itu, penipuan berkenaan lazimnya bermula dengan panggilan automatik yang meminta penerima membantah transaksi kad kredit palsu, sebelum disambungkan kepada pemanggil yang mendakwa mewakili pihak bank. Panggilan tersebut kemudian meningkat dengan penyamaran sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang atau agensi kerajaan.
Mangsa akan diugut dengan tindakan seperti tangkapan, pembekuan akaun atau prosiding undang-undang, selain dipaksa memindahkan wang, mendedahkan maklumat sulit perbankan atau bertemu dengan penipu di tempat awam untuk menyerahkan wang tunai.
Bank Baiduri menegaskan taktik tersebut sengaja direka untuk menimbulkan rasa takut dan panik agar individu bertindak tanpa membuat pengesahan.
Bank itu menekankan bahawa pihaknya tidak pernah meminta maklumat sensitif seperti nombor PIN, kata laluan atau kata laluan sekali guna (OTP) melalui telefon, serta tidak akan mengarahkan pelanggan memindahkan wang atau bertemu di luar premis rasmi.

Orang ramai turut diingatkan agar berwaspada terhadap tanda-tanda amaran seperti pemanggil yang mendakwa daripada pihak bank, polis atau agensi kerajaan; ugutan tindakan undang-undang, tangkapan atau penggantungan akaun; arahan untuk memindahkan wang secara tergesa-gesa; atau diminta merahsiakan perkara tersebut daripada keluarga, pihak bank atau pihak berkuasa.
Beberapa mangsa turut melaporkan diminta berjumpa di lokasi awam secara rambang bagi menyerahkan wang tunai. Justeru, langkah paling selamat ialah bertenang, menamatkan panggilan serta-merta dan tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi atau perbankan.
Pelanggan Bank Baiduri yang menerima panggilan mencurigakan dinasihatkan menghubungi Talian Khidmat Pelanggan 24 jam Bank Baiduri di 2449666 untuk pengesahan. Selain itu, sesiapa yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan disarankan segera menghubungi Talian Pusat Anti-Scam (ASC) Pasukan Polis Diraja Brunei di 16993 serta membuat laporan polis.
Bank Baiduri menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, termasuk ASC, dalam memantau aktiviti penipuan dan menyokong usaha negara untuk melindungi orang awam.
Untuk maklumat lanjut mengenai kesedaran terhadap penipuan, sila layari halaman Learn di www.baiduri.com.bn atau ikuti saluran media sosial rasmi Bank Baiduri.

