Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menegaskan bahawa satu gambar kad pengenalan polis yang tular baru-baru ini adalah palsu dan dipercayai telah dihasilkan menggunakan perisian penyuntingan foto.
Penularan gambar serta rakaman suara itu dipercayai merupakan sebahagian daripada percubaan untuk menipu orang awam dengan helah kononnya melibatkan transaksi kewangan di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Menurut PPDB, satu laporan berkaitan kes tersebut telah diterima dan kini sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Hasil siasatan mendapati bahawa mangsa telah dihubungi oleh seorang scammer melalui aplikasi WhatsApp yang menyamar sebagai wakil BIBD dan memaklumkan kononnya terdapat transaksi kad kredit mencurigakan atas nama mangsa.
Tidak lama selepas itu, mangsa menerima panggilan kedua daripada individu lain pula yang menyamar sebagai pegawai dari JSJ untuk memperdaya mangsa agar mendedahkan maklumat peribadi.
Sehubungan itu, PPDB mengingatkan orang ramai untuk berwaspada terhadap sebarang panggilan telefon, terutamanya yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya bagi tujuan rasmi pihak kerajaan atau institusi kewangan walaupun nombor yang digunakan adalah nombor tempatan.
PPDB menegaskan komitmennya dalam membanteras kes-kes penipuan seumpama ini, dan menyeru masyarakat agar sentiasa berhati-hati serta menyebarkan kesedaran kepada ahli keluarga dan rakan-rakan supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.
