BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) memaklumkan orang ramai mengenai beberapa laporan penipuan panggilan telefon di mana pemanggil menyamar sebagai kakitangan bank.
BAB menjelaskan, penipuan itu dibuat dengan memberitahu mangsa untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman mereka dan untuk menekan kod nombor bagi maklumat lanjut atau bercakap kepada perwakilan bank dan mengesah diri mereka dengan maklumat peribadi mereka.
Sehubungan itu, BAB dalam kenyataannya mengingatkan orang ramai supaya tidak mengongsikan maklumat peribadi kepada sesiapa dan tidak mengikut sebarang arahan yang diragui seperti yang disebutkan.
BAB juga menasihatkan orang ramai bahawa bank-bank dan institusi kewangan mempunyai amalan-amalan efektif yang dilaksanakan untuk melindungi kerahsiaan maklumat pelanggan.
Bank-bank tidak akan menghubungi pelanggan mereka menerusi telefon untuk meminta maklumat peribadi atau memindah wang.
Orang ramai boleh menghubungi bank masing-masing jika mereka memerlukan pengesahan atau maklumat lanjut.