Wednesday, January 15, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada pengintip asing yang ‘cantik’

    BEIJING, 4 SEPT – Agensi keselamatan negara China hari ini memberikan amaran kepada pelajar yang mempunyai akses kepada maklumat sensitif supaya tidak jatuh cinta dengan ‘lelaki kacak’ atau ‘wanita cantik’ yang mungkin memujuk mereka untuk menjadi pengintip bagi kuasa asing.

    Kementerian Keselamatan Negara (MSS) Beijing telah mempromosikan dakwaan bahawa pengintip asing sedang berusaha untuk memikat rakyat China yang setia untuk mengkhianati negara mereka – selalunya dengan cara yang menyeramkan dan luar biasa – sejak membuka akaun WeChat tahun lepas.

    Ia telah mengeluarkan amaran bahawa pengintip asing ‘mempunyai pelbagai penyamaran, malah boleh menukar jantina mereka’ dan menyeru rakyat untuk ‘membina 1.4 bilion barisan pertahanan’ terhadap ancaman kepada negara.

    Hari ini, ia menuduh agensi perisikan asing menggunakan ‘perangkap cinta’ untuk memikat pelajar China.

    Ia berkata pengintip asing menggunakan iklan pekerjaan dan juga temu janji dalam talian untuk ‘memikat dan memaksa’ pelajar muda, terutamanya mereka yang mempunyai akses kepada ‘data penyelidikan saintifik yang sensitif’, untuk menyerahkan maklumat sulit.

    “Mereka juga mungkin menyamar sebagai ‘lelaki kacak’ atau ‘wanita jelita’… dan menarik pelajar muda ke dalam ‘perangkap percintaan’,” menurut amaran yang dikeluarkan.

    MSS tidak menamakan negara mana yang terlibat dalam skim yang didakwa itu.

    Tetapi ia memberikan amaran bahawa pengintip mungkin menyamar sebagai graduan universiti, penyelidik saintifik atau perunding, memperdaya pelajar yang kekurangan wang dalam apa yang dipanggil sebagai ‘penyusupan yang disasarkan’. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda