Saturday, July 26, 2025
34.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Waspada penyakit ain daripada pandangan mata’

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai- Apabila memuji seseorang yang dikagumi hendaklah disertai dengan menyebut nama Allah terlebih dahulu, sunat memuji Allah terlebih dahulu sebelum memuji makhluk.

    “Ini adalah adab yang diajarkan oleh Rasulullah saw untuk mencegah terjadinya (penyakit) ain,” jelas khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini bertajuk Lindungi diri daripada penyakit ain.

    Khatib turut menyarankan untuk mengamalkan Surah Al- Falaq agar terhindar daripada orang yang hasad dan dengki.

    Penyakit ain dalam Islam adalah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai perasaan iri hati atau kagum yang berlebihan.

    “Ia boleh memberikan kesan buruk kepada orang yang dipandangnya, termasuk pada tubuh, jiwa, atau benda. Ia boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang disukai, dari orang yang jahat atau orang yang baik”.

    Penyakit ain boleh berlaku apabila seseorang memandang dengan perasaan iri hati, tegas Khatib, perasaan tidak senang melihat orang lain mendapat nikmat dan inginkan nikmat tersebut hilang dari mereka. Sebagai contoh, seorang jiran melihat jirannya membeli kereta baharu, lalu hatinya merasa marah atau kecewa kerana dia tidak mampu membelinya.

    Penyakit ain boleh berlaku apabila melihat kejayaan orang lain dengan perasaan dengki. – Gambar Unsplash

    Khatib seterusnya menjelaskan, pandangan seperti ini jika disertai dengan perasaan jahat dan tidak diiringi dengan doa kebaikan, boleh menyebabkan mudarat melalui mata. Manakala kekaguman yang tidak diiringi dengan doa kebaikan pula, tambahnya, adalah bentuk ain yang lebih halus dan tidak disengajakan.

    Katanya lagi, “ia boleh berlaku walaupun tanpa hasad, contohnya seseorang yang memuji apabila melihat kanak-kanak yang sangat comel atau bijak tanpa menyertakan dengan pujian kepada Allah atau tanpa mendoakan keberkatan”.

    Walaupun tidak ada perasaan iri hati, tegas Khatib, pandangan ini masih boleh menyebabkan kesan ain kerana kekuatan pandangan mata manusia adalah hakikat yang diakui oleh syariat.

    Selain itu, perasaan ujub iaitu berlebihan dalam memuji diri sendiri dan suka mempamerkan kelebihan diri juga boleh menyebabkan seseorang mudah terkena penyakit ain.

    Oleh itu, jelas Khatib, pujian dan kekaguman hendaklah diiringi dengan menyandarkan nikmat kepada Allah seperti ucapan memuju Allah seperti Masyaallah, Alhamdulillah dan seumpamanya dan bukan semata-mata pujian pada makhluk.

    Khatib dalam khutbah turut mengongsikan antara penyakit yang boleh terjadi disebabkan oleh pandangan mata ialah seperti penyakit kulit, keletihan yang berpanjangan, sakit kepala, gangguan tidur atau mimpi buruk, kekejangan terutama pada anak damit, merasa lemah dan berat seluruh badan atau bahagian tertentu, merasa cemas atau tertekan, perasaan cemas yang tiba-tiba, kurang semangat dan sebagainya.

    Adapun cara untuk melindungi diri daripada penyakit ain ialah dengan banyak berzikir, istighfar, berdoa dan Ta’awuz iaitu bacaan perlindungan.

    Banyak berzikir adalah antara cara melindungi diri daripada penyakit ain. – Gambar Unsplash

    Khatib seterusnya mengongsikan antara doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW bagi perlindungan daripada penyakit ain yang ertinya ‘Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat’.

    Selain itu, jelas Khatib, kita juga boleh mengamalkan zikir sebagai pendinding daripada penyakit ain serta musibah lain. Rasulullah SAW juga menganjurkan rawatan ruqyah iaitu perubatan Islam untuk mengobati penyakit ain.

    Jemaah juga diingatkan bagi melindungi dan menghindari diri dari terkena penyakit ain, hindari diri dari menunjuk-menunjuk secara berlebihan terutama di media sosial selain menjaga diri dari sifat hasad, ujub dan rasa kagum yang berlebihan dengan sentiasa ingat akan keagungan Allah SWT ketika melihat kelebihan seseorang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda