Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada pilih jenama

    KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam memilih jenama produk sardin dalam tin susulan penemuan cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp dalam sardin tin yang diimport dari China baru-baru ini.

    Bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak terlalu panik dengan isu itu kerana ia tidak memudaratkan jika telah termakan memandangkan cacing berkenaan telah mati semasa proses pembuatan sardin dalam tin yang menggunakan haba yang tinggi.

    Pensyarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Marina Hassan berkata parasit memang wujud dalam rantaian makanan atau kehidupan harian manusia tanpa disedari secara langsung.

    “Makanan yang tercemar oleh parasit adalah sukar untuk dielakkan kerana kadang-kadang ianya tidak dapat dikesan tetapi parasit yang biasanya dikesan di dalam makanan laut adalah nematod (cacing gelang), cestod (cacing pita) dan flukes (cacing pipih),” katanya kepada Bernama hari ini.

    “Namun, terdapat juga parasit yang sukar dikesan seperti protozoa. Terdapat beberapa simptom yang disebabkan oleh jangkitan parasit iaitu sakit perut, cirit birit, muntah, pucat, hilang berat badan dan hilang selera makan.

    Jika berlaku sebarang simptom yang ketara ini, maka ianya boleh dikesan dan dapat dirawat. Parasit mungkin menjangkiti kita tetapi ianya tidak memberi kesan berpanjangan atau signifikan dan berkemungkinan ianya mati disebabkan sistem pertahanan badan kita yang kuat,” katanya.

    Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengarahkan syarikat pengeluar bagi enam produk ikan sardin dalam tin jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy ditarik dari pasaran kerana dipercayai mengandungi cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda