Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Negara Brunei Darussalam dijangka mengalami keadaan cuaca tidak menentu pada beberapa hari yang akan datang disebabkan pertembungan satu sistem tekanan rendah di Laut China Selatan dengan kesan angin tempatan yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Keadaan cuaca aktif berkenaan diramalkan bermula hari ini hingga awal pagi, 15 Oktober dengan hujan lebat berpetir sekali-skala menjejaskan kebanyakan kawasan negara dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.
Di samping itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit iaitu di bawah 1 meter.
Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, yang turut menyatakan bahawa negara telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan selepas monsun barat daya dan sebelum memasuki monsun timur laut.
Tempoh peralihan monsun itu dijangka berterusan sehingga hujung November dan sepanjang tempoh berkenaan, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.


