Saturday, February 22, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada sijil BDCB palsu

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) menegaskan bahawa imej sijil Shariah Compliant Banking Certificate, yang kononnya dikeluarkan oleh BDCB dan memperakui pemerbadanan sebuah syarikat di Negara Brunei Darussalam adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh BDCB.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, orang ramai disarankan untuk sentiasa berwaspada terhadap penyalahgunaan nama dan logo BDCB untuk tujuan memperdaya orang ramai.

    Pihak BDCB juga menekankan sesiapa yang menggunakan nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB yang serupa atau menyerupai nama, simbol, reka bentuk atau gambaran BDCB yang bertujuan sama ada untuk memperdaya, menipu, menyebabkan kekeliruan atau berkemungkinan untuk memperdaya, menipu, atau menyebabkan kekeliruan, adalah merupakan kesalahan di bawah Bab 74A Perintah Brunei Darussalam Central Bank, 2010 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi $20,000, penjara tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

    Dalam perkara itu, BDCB juga ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak berurusan dengan sebarang entiti yang tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan kewangan dan hanya berurusan dengan bank-bank dan syarikat kewangan yang berlesen.

    Senarai institusi-institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB serta BDCB Alert List boleh didapati di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.

    Orang ramai juga dinasihatkan membuat laporan dengan segera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei di balai polis berhampiran atau melalui 993 jika telah menjadi mangsa aktiviti kewangan yang tidak berlesen.

    Selain itu, mereka boleh memaklumkan pihak BDCB mengenai sebarang entiti/individu yang disyaki menawarkan perkhidmatan kewangan tanpa lesen dengan menghubungi Isu Pengguna Kewangan, BDCB di talian, +673 8380007 atau melalui e-mel, fci@bdcb.gov.bn.

    BDCB terus mengutamakan kestabilan kewangan domestik dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam, di samping sentiasa memantau aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di negara ini.

    – GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda