Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) tidak pernah menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas untuk mendapatkan maklumat peribadi mahupun perbankan daripada pelanggan untuk mana-mana perkhidmatan yang sedia ada.
Pada masa yang sama, sebarang pesanan ringkas atau WhatsApp dari JPP akan melalui nombor rasmi iaitu +673 729 2864, +673 746 3043, +673 745 9069, +673 729 2865 dan +623 729 2863 sahaja.
Makluman berkenaan dikeluarkan oleh JPP dalam kenyataannya, di sini, di mana ia menyatakan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui JPP dan Cyber Security Brunei (CSB) semenjak beberapa hari ini, telah menerima laporan dalam jumlah yang tinggi mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang kononnya dihantar oleh JPP dan menghendaki penerima untuk mengisikan butiran alamat yang betul melalui pautan yang dikongsikan dalam SMS berkenaan.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati apabila menerima mesej-mesej yang meminta maklumat peribadi dan mengandungi pautan. Khususnya bagi sebarang urusan rasmi kerajaan, orang ramai disarankan supaya memastikan mereka menggunakan laman web rasmi kerajaan yang menggunakan alamat gov.bn atau org.bn.
Bagi mendapatkan pengesahan mengenai ketulenan sebarang mesej yang diterima, orang ramai boleh berhubung terus dengan jabatan-jabatan yang berkenaan.
Jika berhubung dengan JPP, orang ramai boleh menghubungi +673 238 0481 atau +673 871 1002 (WhatsApp).

Pada masa yang sama, kerjasama orang ramai juga dipohonkan untuk melaporkan sebarang kegiatan penipuan dalam talian yang disyaki kepada BruCert di talian +673 245 8001 atau melalui e-mel di reporting@Brucert.org.bn.
Di samping itu, orang ramai turut disarankan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penipuan dalam talian dengan menitikberatkan konsep Fikir, Pastikan dan Nasihat.
Bagi Fikir, mereka disarankan untuk bertanya kepada diri sendiri adakah kandungan mesej-mesej itu masuk akal? Jangan cepat percaya dengan mesej-mesej yang diterima serta jangan klik pada mana-mana pautan yang tidak dijangka yang diterima melalui SMS, WhatsApp atau media sosial.
Bagi Pastikan, mereka disarankan untuk menyemak sama ada pautan tersebut betul-betul sepadan dengan alamat web rasmi JPP serta sahkan dengan Pejabat Pos untuk sebarang pakej yang belum selesai.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberikan maklumat peribadi mereka kepada sesiapa sahaja yang tidak dikenali, memastikan mereka hanya menggunakan laman web rasmi kerajaan gov.bn untuk sebarang perkara yang melibatkan perkongsian maklumat peribadi serta jika mesej atau e-mel kelihatan mencurigakan, mereka harus menghubungi pihak-pihak yang tertentu, seperti membuat laporan ke pejabat polis yang berdekatan atau melalui BruCERT.

