Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada strok berdarah, elak maut sekelip mata

    KUALA LUMPUR, 6 JUN – Dalam sekelip mata, sebuah keluarga kehilangan ketuanya apabila si ayah tiba-tiba mengalami strok berdarah seusai makan malam di sebuah restoran.

    Baru berusia 48 tahun, Iskandar (bukan nama sebenar) memaklumkan isterinya yang dia terasa ingin muntah selepas selesai menikmati hidangan malam bersama-sama dengan empat anak mereka. Dia kemudiannya ke tandas.

    Berkongsi kisah keluarga itu dengan Bernama, pakar perunding bedah otak dan saraf Dr Nor Faizal Ahmad Bahuri berkata selepas lebih 20 minit suami masih tidak muncul, si isteri meminta anak sulung mereka menjengah keadaan si ayah di dalam tandas. 

    “Lelaki itu dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai, tidak sedarkan diri. Ketika tiba di hospital dia sudah berada dalam keadaan kritikal dan pemeriksaan imbasan CT menunjukkan berlaku pendarahan di dalam otak. Dia kemudiannya menjalani pembedahan namun meninggal dunia dalam tempoh 48 jam selepas itu,” kongsi  Dr Nor Faizal lagi.

    Jelas pakar yang kini bertugas di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur itu, insiden tersebut berlaku terlalu pantas, menunjukkan betapa pentingnya seseorang yang mengalami gejala strok dibawa ke hospital dengan kadar segera.

    Amnya masyarakat hanya tahu tentang strok biasa, iaitu satu keadaan pesakit mengalami gejala seperti senget sebelah muka, percakapan tidak jelas dan lemah separuh badan. Namun, menurut Dr Nor Faizal, strok terbahagi kepada dua jenis.

    “Strok biasa dikenali sebagai strok iskemik yang berlaku apabila darah tidak sampai ke otak, manakala strok hemoragik pula melibatkan pendarahan spontan di dalam otak disebabkan oleh saluran darah dalam otak telah pecah dan seterusnya menjejaskan fungsi organ itu. Ini biasanya berlaku disebabkan saluran darah semakin nipis dan kebanyakan kes berpunca daripada tekanan darah tinggi,” kata beliau.

    Gambar Unsplash

    Menurut beliau lagi, sekalipun mereka yang menghidap penyakit darah tinggi lebih berkecenderungan mengalami strok berdarah, penghidap diabetes, kolesterol tinggi dan perokok juga berisiko.

    Justeru kata Dr Nor Faizal, amat penting bagi masyarakat mengetahui dan mengenal pasti tanda-tanda strok agar rawatan segera dapat dilakukan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah.

    “Sebenarnya strok berdarah ini didahului dengan tanda-tanda strok biasa seperti keadaan muka menjadi senget, percakapan atau pertuturan yang pelat, hilang fungsi setengah badan (lemah separuh badan) dan kesemua simptom ini terjadi dalam masa yang sangat cepat,” katanya.

    Beliau berkata seseorang boleh mengesan tanda-tanda awal terkena strok dengan berpandukan istilah ‘BE FAST’ yang sebenarnya satu akronim.

    “B merujuk balance atau keseimbangan, iaitu seseorang itu akan mengalami kehilangan keseimbangan. Huruf E mewakili  eyes (mata) yang menjelaskan kehilangan penglihatan atau kabur secara tiba-tiba. F pula ialah face (muka), iaitu sebelah wajah seseorang itu jatuh atau mengherot secara tiba-tiba, sementara  A merujuk arm, apabila individu tidak dapat mengangkat kedua-dua belah lengan yang menjadi lemah atau mengalami kebas,” jelasnya lagi. 

    Huruf S pula merujuk pertuturan tidak jelas iaitu speech dan T ialah time iaitu masa yang perlu dikejarkan ke hospital secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan. 

    “Lagi cepat pesakit mendapat rawatan, lagi banyak saraf yang dapat kita selamatkan,” katanya.  

    Menurut Dr Nor Faizal, strok berdarah hanya boleh dikesan melalui imbasan CT kerana tanda-tandanya sama sahaja dengan strok lain.

    Strok berdarah hanya boleh dikesan melalui imbasan CT. – Gambar Unsplash

    “Namun dari segi rawatan, strok berdarah perlu dibedah segera bagi mengurangkan tekanan pada otak akibat limpahan darah yang berlaku secara tiba-tiba dalam pembuluh darah.  Cuba kita bayangkan dalam otak ada tabung yang berkapasiti menampung sejumlah tertentu sahaja. Tiba-tiba berlaku pertambahan darah yang kemudian akan menekan bahagian otak sehingga organ itu gagal berfungsi.

    “Maka rawatan untuk prosedur strok berdarah ialah perlunya pembedahan bagi mengeluarkan darah supaya tekanannya berkurangan. Strok berdarah ini berbeza dengan strok iskemik. Strok iskemik ialah keadaan darah tidak sampai ke otak dan hanya tersumbat. Jadi tidak akan berlaku penambahan darah dalam otak pesakit,” katanya.

    Oleh sebab itulah kata beliau risiko kematian lebih tinggi bagi pesakit strok berdarah berbanding strok biasa. Dr Nor Faizal juga berkata terdapat kes strok yang sebabkan kematian sebelum rawatan berikutan wujudnya persepsi bahawa strok hanya menyebabkan lemah atau lumpuh separuh tubuh.

    “Namun kita tidak tahu apa yang berlaku dalam kepala seseorang itu. Oleh sebab itu, jika pesakit berada dalam keadaan lemah, bawa dulu ke hospital untuk kita kenal pasti jenis strok yang dialaminya. Contohnya pesakit warga emas yang sudah lemah di rumah. Anak-anak pula bekerja dan hanya balik bila lewat petang. Apabila dibawa ke hospital, pemeriksaan mendapati pesakit telah mengalami pendarahan otak. Pada masa itu sudah terlambat,” kata beliau.

    Jatuh dan tidak sedarkan diri harus dibawa untuk pemeriksaan dengan segera. – Freepik

    Dr Nor Faizal berkata sekiranya pesakit strok berdarah berjaya diselamatkan, mereka biasanya berdepan risiko kehilangan fungsi tubuh sama ada secara ilat (kekal) atau separa kekal.

    “Pesakit turut mengalami kesukaran untuk menelan, bercakap serta hilang tahap kesedaran. Komplikasi lain yang boleh berlaku selepas itu ialah pesakit mengalami jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya.

    Menurut Dr Nor Faizal, berdasarkan pemerhatian beliau, strok lazimnya berlaku pada mereka yang berusia 40 tahun ke atas dengan kaum lelaki lebih berisiko berbanding wanita, kebanyakannya disebabkan oleh tabiat merokok.

    “Bagaimanapun tahap kesedaran masyarakat tentang strok berdarah ini masih sangat rendah,” ujar beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda