Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada suplemen beni-koji Jepun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran untuk mengimport dan menjual produk suplemen kesihatan yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice yang dikilangkan oleh Syarikat Kobayashi Pharmaceutical Co, Jepun, di Negara Brunei Darussalam.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan perkara itu, susulan laporan di akhbar-akhbar dan media mengenai penarikan balik produk suplemen kesihatan oleh pengilang syarikat Kobayashi Pharmaceutical Co, Jepun bagi produk suplemen kesihatan yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice.

    Produk suplemen kesihatan yang terjejas dikenalpasti dipasarkan dengan beberapa jenama iaitu Beni-koji choleste-help (Red yeast rice cholesterol help), Nattokinase Smooth Grain Gold dan Naishi-help plus cholesterol.

    Penarikan balik produk-produk berkenaan oleh syarikat Kobayashi Pharmaceutical Co, Jepun adalah disebabkan negara Jepun telah melaporkan lima kematian dan 196 kes pesakit yang telah dirawat di hospital setakat 4 April.

    Kes-kes berkenaan telah pun dikaitan dengan pengambil produk kesihatan yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice yang dikilangkan oleh syarikat Kobayashi Pharmaceutical Co Jepun.

    Sebab kematian dan pesakit dimasukkan ke hospital adalah masih dalam siasatan pihak berkuasa Jepun dan pihak pengilang.

    Beni-koji atau red yeast rice adalah bahan yang diekstrak daripada proses penapaian beras dengan menggunakan sejenis yis yang dikenali sebagai Monascus purpureus.

    Antara bahan yang diekstrak daripada proses penapaian beras dengan Monascus purpureus, adalah satu bahan aktif semula jadi yang dikenali sebagai Monocolin-K yang memiliki struktur sama dengan ubat farmaseutikal lovastatin yang berfungsi untuk mengawal tahap kolesterol dalam darah.

    Beni-koji atau red yeast rice juga digunakan sebagai bahan dalam makanan seperti di dalam produk minuman, sup, bahan pewarna dan bahan perisa makanan.

    Ganbar daripada Laman Sesawang Kobayashi Pharmaceutical

    Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta dan mana-mana produk dalam simpanan untuk dikembalikan balik kepada ejen pembekal ataupun dimusnahkan.

    Orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk terlebih dahulu berbincang dengan doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil mana-mana produk suplemen kesihatan. Produk suplemen kesihatan termasuk produk yang mengandungi beni-koji atau red yeast rice adalah berpotensi untuk berinteraksi dengan ubat-ubatan yang sedang diambil oleh para pesakit yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini dan boleh menjejaskan rawatan penyakit yang sedia ada.

    Kementerian Kesihatan akan terus menjalankan pemantauan secara beterusan dan keselamatan orang ramai adalah menjadi keutamaan.

    Untuk makluman dan pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Regulatori Produk melalui talian telefon sambungan 2393301 atau 2393230 sambungan 225 atau menghantar e-mel kepada tmhs.unit@moh.gov.bn, atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda