Wednesday, December 25, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada tanda awal strok haba

    Gambar Bernama

    KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap tanda-tanda awal strok haba terutamanya kepada mereka yang mudah terdedah kepada komplikasi tersebut seperti kanak-kanak dan warga emas, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

    Pengamal Perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman berkata strok haba adalah penyakit disebabkan kepanasan melampau yang didahului oleh kejang haba (heat cramp), diikuti dengan kelesuan haba.

    “Ia akan bermula dengan heat cramp maksudnya orang tu akan mendapati otot-otot rasa kejang dan jika dia masih lagi terdedah dengan cuaca panas biasanya bila suhu (persekitaran) naik lebih 32 darjah Celcius ke atas ia akan ke fasa seterusnya iaitu kelesuan haba,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata simptom bagi kelesuan haba antara lain ialah suhu badan meningkat hingga 39 darjah Celcius, jantung berdetak laju, pening atau sakit kepala dan keletihan melampau.

    Menurut Dr Arisman Wenge sekiranya tanda-tanda berkenaan kelihatan pada seseorang, beliau menyarankan agar segera mengambil langkah berikut iaitu longgar atau tanggalkan pakaian, mandi atau membasahkan anggota badan seperti kepala, leher dan ketiak, tempatkan diri di ruangan yang sejuk dan berikan minuman sejuk dengan segera.

    Pengunjung dilihat menggunakan payung dan topi berikutan cuaca panas semasa mengunjungi tempat bersejarah Bangunan Stadthuys dekat Banda Hilir, Melaka.
    PANAS TERIK… Sebuah pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Labuan berlatarbelakangkan sinar terik mentari dan cuaca panas yang sedang melanda.

    “Jika pertolongan pertama ini tidak dilakukan, maka risiko terjadinya strok haba sangat tinggi…individu akan menjadi semakin lesu dan sedikit demi sedikit organ penting dalam tubuh akan terjejas,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata gejala dan tanda awal strok haba yang perlu diawasi oleh orang ramai adalah suhu badan melebihi 40 darjah Celcius, fungsi otak terjejas (celaru, atau hampir pengsan), delirium (meracau), pengsan dan sawan.

    “Beza strok haba dengan kelesuan haba ialah, bagi strok haba individu tersebut tidak akan mengeluarkan peluh lagi kerana telah mengalami dehidrasi sangat teruk, ketegangan kulit atau ‘skin turgor’ kering dan berkurang.

    “Air kencing pada mereka yang mengalami kelesuan haba dan strok haba juga berkurang atau hampir tiada kerana dehidrasi yang teruk akibat tiada pertolongan pertama diberikan.

    Ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, otak dan jantung juga mula bengkak serta fungsinya boleh terhenti pada bila-bila masa,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan berita menyayat hati mengenai kematian dua kanak-kanak masing-masing berusia 11 tahun dan setahun tujuh bulan di Kelantan dipercayai akibat strok haba.

    Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata selain kanak-kanak dan warga emas, mereka yang bekerja di lapangan seperti penghantar makanan juga perlu berwaspada terhadap risiko strok haba.

    “Jangan pandang ringan terutama jika mereka mempunyai sakit lain… ini menyebabkan mereka kurang minum air dan kurang kencing sehingga badan jadi hilang air dan bila panas sikit dia boleh kena strok haba.

    “…Kalau panas sangat di luar (untuk kadar) lama, mereka juga boleh kena (strok haba). Majikan juga perlu memberikan kelonggaran untuk mereka berehat supaya tidak terlalu terkesan dengan pendedahan terhadap cuaca panas,” katanya.

    Sementara itu, ahli perniagaan, Eric Tay, 44, berkata beliau sentiasa menanamkan tabiat minum air pada anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dengan mengingatkannya agar minum air setiap setengah jam atau kurang, terutama selepas sebarang aktiviti fizikal.

    “Dengan gelombang panas sekarang, isteri saya sentiasa membekalkan anak saya dengan botol air minuman 1.5 liter ke sekolah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak dehidrasi…kita pun tahu kanak-kanak sekarang sangat aktif dan anak kami tidak terkecuali, jadi kita kena kerap perhatikan mereka,” katanya.

    Norsiah Mohamed, 37, dari Bandar Baru Bangi, berkongsi kerisauan yang sama dengan kerap memberitahu anak perempuannya berusia 10 tahun supaya seboleh mungkin sentiasa berada dalam bangunan ketika di sekolah.

    “Bagaimanapun, jika tiada pilihan dan terpaksa berada di luar, saya ingatkan dia agar kerap simbah air ke muka bagi mengurangkan panas yang terkumpul, selain minum banyak air,” kata suri rumah itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda