Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada tawaran pekerjaan palsu

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Semakin banyak penipuan yang melibatkan iklan pekerjaan palsu yang diedarkan melalui platform media sosial.

    Dalam mengambil serius perkara itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada apabila berhadapan dengan tawaran yang menyasarkan skim pencari kerja yang memberikan peluang pekerjaan yang kelihatan sah, tetapi sebaliknya ianya adalah untuk mengakses maklumat peribadi dan kewangan.

    BIBD dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini turut menjelaskan, penipu akan mendekati individu melalui siaran kerja atau mesej langsung, atau tawaran peluang pekerjaan yang palsu.

    Bank berkenaan menegaskan, kaedah yang biasa digunakan untuk menjejaskan keselamatan seperti pemasangan fail APK di mana mangsa diminta untuk memuat turun fail APK.

    Selain itu, pemohon diarahkan ke laman sesawang palsu yang merupakan klon skrin log masuk NEXGEN Wallet BIBD, dan permintaan untuk OTP, di mana mangsa akan menerima OTP yang diminta untuk dikongsi kepada penipu, dengan alasan untuk memproses permohonan atau gaji.

    Gambar Freepik

    Sehubungan itu, BIBD menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengikuti langkah keselamatan dengan mengelak memuat turun atau memasang fail APK dari sumber yang tidak diketahui atau tidak disahkan, kerana ia mungkin mengandungi perisian berbahaya.

    Selain itu, sentiasa mengakses perkhidmatan BIBD melalui aplikasi NEXGEN Wallet rasmi atau melalui laman sesawang bank di www.bibd.com.bn, dan jangan sesekali mendedahkan butiran perbankan, kelayakan log masuk atau OTP kepada pihak ketiga, tanpa mengira apa jua permintaan.

    BIBD menggesa semua pelanggan untuk membantu menyebarkan berita tentang tawaran kerja palsu dan penipuan tersebut.

    Berkongsi maklumat demikian dengan keluarga, kawan dan rakan sekerja boleh membantu melindungi yang lain daripada menjadi mangsa kepada skim penipuan itu.

    Pelanggan yang mengesyaki mereka mungkin telah menjadi mangsa penipuan sedemikian adalah digalakkan untuk buat laporan rasmi dengan Pasukan Polis Diraja Brunei dan membuat aduan dengan BIBD dengan menyediakan salinan laporan polis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda