Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Ahli-ahli Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan syarikat atau kontraktor yang tidak melaksanakan kerja-kerja pembinaan yang dijanjikan atau menawarkan perkhidmatan pengeluaran secara tunai bagi ahli dengan menerima komisen bagi perkhidmatan berkenaan.
Pengeluaran perumahan bagi tujuan selain daripada perumahan boleh merugikan ahli apabila ahli memerlukan kewangan tambahan untuk rumah pada masa hadapan.
Nasihat itu dikeluarkan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, di mana ia menyatakan SPK yang ditubuhkan pada 15 Julai 2023 membolehkan pengeluaran rumah bagi ahli-ahli SPK bermula umur 40 tahun ke atas. Pengeluaran sehingga 50 peratus daripada akaun ahli SPK boleh digunakan bukan sahaja bagi tujuan membeli, membina atau membayar balik baki pinjaman rumah, ia juga telah dilaratkan kepada ahli yang ingin mengubahsuai dan membaik pulih rumah yang sedia ada.
Oleh itu, sebagai salah satu langkah memastikan kerja-kerja pengubahsuaian rumah dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor, pihak TAP melalui Unit Penguatkuasaan TAP telah membuat lawatan secara rambang ke beberapa projek pembinaan dan pengubahsuaian rumah yang terletak di kawasan Kampung Salambigar, Kampung Perpindahan Mengkubau dan Kampung Perpindahan Mentiri.
Lawatan seperti itu akan kerap dibuat sebagai salah satu proses TAP bagi membantu ahli-ahlinya mencapai objektif tujuan pengeluaran SPK rumah.
TAP dalam kenyataannya berkata pemalsuan dokumen oleh syarikat dan kontraktor seperti menyediakan kontrak atau dokumen-dokumen bagi tujuan mendapatkan kebenaran permohonan pengeluaran rumah tanpa ada sebarang pembinaan, pembelian atau pengubahsuaian rumah merupakan salah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, syarikat atau kontraktor boleh dikenakan hukuman di bawah Bab 35, Perintah Skim Persaraan Kebangsaan 2023 kerana tidak menggunakan bayaran pengeluaran berkaitan dengan rumah dan denda tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama atau $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Maklumat lengkap mengenai SPK boleh didapati melalui laman sesawang TAP atau akaun rasmi media sosial Facebook, TAP dan Instagram, @TAP_Brunei.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2722929 semasa waktu pejabat atau melalui e-mel, ask@tap.com.bn untuk sebarang aduan serta mendapatkan maklumat lanjut.
