BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sistem Ribut Tropika Nakri telah dikesan di kawasan Laut China Selatan pada koordinat 13.6 °N 116.2 °E, pada awal pagi ini.
Sistem berkenaan dijangka berada di lokasi sama dalam tempoh 48 jam akan datang, seperti yang diramalkan oleh Agensi Meteorologi Jepun.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataannya, berkata, Nakri akan terus mempengaruhi cuaca minggu ini disebabkan negara pada masa ini masih berada dalam monsun peralihan iaitu tempoh peralihan antara monsun barat daya ke monsun timur laut yang biasanya berakhir pada hujung bulan November.
Keadaan cuaca berangin dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala berintensiti lebat dijangka melintasi kawasan negara terutama di kawasan laut dan kawasan pesisiran pantai.
Hujan berintensiti lebat boleh menyebabkan risiko banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, dan juga risiko kejadian tanah susur.
Tambah kenyataan itu lagi, kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40-50kmsj semasa hujan berangin. Sementara itu, keadaan laut dijangka meningkat ke paras bergelora mencapai ketinggian 3.0m terutamanya semasa hujan berangin.
BDMD turut menasihatkan orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut untuk sentiasa peka dengan maklumat dan ramalan cuaca bagi mengambil langkah-langkah awal yang sewajarnya demi keselamatan semua.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Orang ramai juga diseru untuk mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi pegawai peramal kaji cuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.
