Monday, July 14, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada video palsu anggota PPDB daripada AI

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah ingin memberi amaran kepada orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap video-video deepfake yang tular di media sosial, khususnya di platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram, yang memaparkan individu menyerupai pegawai atau anggota polis dalam usaha memperdaya mangsa.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, modul penipuan baharu ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengubah suai video dan audio agar menyerupai pegawai polis. Sebeulm dimuat naik bagi memperdaya orang awam agar melabur dalam skim pelaburan palsu.

    PPDB menjelaskan bahawa beberapa akaun TikTok telah dikesan menggunakan teknik deepfake tersebut dalam usaha menarik mangsa menyertai skim penipuan yang dinamakan sebagai ‘nyata kemunculan wang ajaib’ yang kononnya mampu menyelesaikan masalah kewangan dalam masa singkat.

    Skim berkenaan juga didakwa memberi pulangan tinggi dan pantas, namun ia hanyalah helah untuk mendapatkan wang deposit pelaburan daripada mangsa.

    BSJS menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan kandungan media sosial yang menjanjikan keuntungan cepat atau wang mudah, apatah lagi apabila melibatkan pemindahan wang tanpa jaminan sah.

    Scammer kini semakin licik dan menyasarkan mangsa yang mudah terpengaruh dengan janji manis dan penyamaran profesional.

    Dalam pada itu, BSJS turut mengingatkan bahawa sebarang skim pelaburan yang tidak diluluskan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) atau mana-mana bank tempatan adalah tidak sah dan membawa risiko tinggi.

    Oleh itu, orang ramai disarankan agar menyemak kesahihan sebarang pelaburan terlebih dahulu, dan tidak membuat pemindahan wang tanpa pengesahan.

    Sebarang maklumat atau kandungan mencurigakan hendaklah dilaporkan segera kepada balai polis terdekat atau menghubungi talian kecemasan 993. Orang awam juga digalakkan untuk segera memaklumkan kepada pihak bank sekiranya mendapati terdapat transaksi meragukan yang berkaitan dengan skim pelaburan tersebut.

    Antara video-video palsu yang didapati cuba menipu orang ramai. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda