(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 1
MEMPEROLEHI kesempurnaan dalam sembahyang merupakan impian setiap muslim. Mereka cuba sedaya upaya untuk menghadirkan hati agar khusyuk dalam sembahyang, di samping melaksanakan perkara rukun dan sunat sembahyang dengan sempurna. Untuk khusyuk dalam sembahyang pula bukanlah suatu yang mudah, tetapi ia juga bukan suatu yang mustahil untuk dicapai.
Khusyuk dalam sembahyang boleh terganggu dengan adanya perasaan waswas yang wujud di dalam hati, seperti waswas ketika mengangkat takbiratul ihram, waswas pada bacaan dalam sembahyang dan yang seumpamanya.
Dari manakah punca perasaan waswas ini dan bagaimanakah pula cara mengatasi? Indahnya Islam kali ini akan menjelaskan serba sedikit mengenai perkara ini.
Apa dia waswas?
Waswas menurut kamus dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Dari istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.
Dalam kitab Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah pula, waswas bermaksud kesibukan fikiran dengan pemikiran yang mengganggu dirinya, dan ini menggalakkannya untuk melakukan perkara-perkara yang bodoh.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, al-Waswasah adalah bisikan hati (dalam diri).
Waswas merupakan salah satu daripada perbuatan syaitan (bertujuan untuk menganggu manusia). Oleh yang demikian, seorang muslim itu hendaklah tidak patuh pada (bisikan atau hasutan) syaitan yang menganggu dirinya dengan perasaan waswas. Bahkan hendaklah dia mengambil langkah berhati-hati yang menghalangnya dari berperasaan waswas itu.
Waswas semasa sembahyang dan dalam sembahyang
Menurut al-‘Allamah Sayyid al-Bakri Rahimahullah, sembahyang tidak batal jika waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran).
Walau bagaimanapun adalah menjadi tanggungjawab individu mencari jalan atau cara untuk mengatasinya agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyuk.
Antara waswas yang sering terjadi pada sesetengah individu ketika bersembahyang ialah:
1) Waswas pada niat sembahyang dan takbiratul ihram
Seseorang yang seringkali dilanda waswas ketika mengangkat takbiratul ihram akan menyangka bahawa niat yang dilakukan ketika takbiratul ihram itu tidak sempurna atau iringan antara niat dan takbir itu salah dan yang seumpamanya. Waswasnya itu menyebabkan dia terpaksa mengulang niat dan takbiratul ihram itu kerana takut sembahyang yang dilakukannya itu tidak sempurna atau batal disebabkan niat dan takbiratul ihram yang tidak sempurna atau salah itu.
Menurut al-‘Allamah asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullah, waswas yang datang ketika takbiratul ihram adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal fikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama.
Mengetahui niat sembahyang dengan jelas, cara melafazkannya samada sebelum atau seiring dengan takbiratul ihram, sebenarnya membantu mengelak dari timbulnya waswas ketika berniat dan mengangkat takbiratul ihram.
Lafaz niat dan cara takbiratul ihram
Niat dari segi syarak bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut.
Seseorang yang hendak melakukan sembahyang fardhu wajib menghadirkan di dalam hatinya tiga perkara, iaitu:
A) Qashad (tujuan hendak sembahyang)
B)Ta‘yin (menentukan sembahyang Zhuhur dan sebagainya)
C) Ta‘arrudh al-fardhiah (pernyataan fardhu).
Maka dari ketiga perkara tersebut, inilah contoh niat yang wajib bagi sembahyang fardhu yang membawa erti, “Aku sembahyang fardhu Zhuhur.”
Begitu juga wajib pernyataan qashar bagi musafir, dan pernyataan “imam” dan “ma’mum” bagi yang sembahyang berjemaah.
Manakala niat dengan lafaz-lafaz sunat sebagaimana berikut:
A) Ta‘arrudh li ada’i aw qadha’i (pernyataan untuk sembahyang tunai atau qadha)
B) Ta‘arrudh ‘adadi raka‘ati (pernyataan bilangan raka‘at)
C) Idhafah ‘ila Allah Ta‘ala (disandarkan kepada Allah Ta‘ala)
Contoh niat yang wajib disertakan dengan lafaz yang sunat pula yang mana membawa erti, “Aku sembahyang fardhu Zhuhur empat raka‘at tunai kerana Allah Ta‘ala.”
Seseorang yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, seperti, “Aku sembahyang fardhu Zhuhur” lalu terus mengangkat takbiratul ihram dengan ucapan, “Allah Maha Besar” sambil di hatinya masih menghadirkan atau masih ada niat untuk sembahyang fardhu Zhuhur sehingga selesai mengucap takbir itu.
Sunat melafazkan niat sebelum mengangkat takbiratul ihram agar lidah dan hati saling bantu membantu untuk menghadirkan niat, dan mengelak waswas.
Menurut al-‘Allamah al-Bujairimi Rahimahullah, pendapat yang muktamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbiratul ihram menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada mana-mana bahagian ucapan takbiratul ihram. Sebagai contoh, tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbiratul ihram.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbiratul ihram mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang biasa, kerana melaksanakan yang sedemikian itu dianggap sudah menghadirkan niat untuk sembahyang.
Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti sahabat-sahabat Nabi Radhiallahu ‘anhum), mereka mampu menghadirkan niat beriringan dengan takbiratul ihram dengan cara yang hakiki; iaitu menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbiratul ihram
Menurut sebahagian ulama, berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan waswas (ketika takbiratul ihram). Jika terjadi sedemikian atau terjadi di luar kemampuan, maka lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah sebagaimana di atas, bagi tujuan memudahkan (untuk menghadirkan niat).
Waswas pada bacaan dalam sembahyang
Terdapat juga sebahagian orang ramai yang berasa waswas pada bacaannya dalam sembahyang sehingga menimbulkan sikap yang keterlaluan dalam pengucapan huruf, lantas kurang perhatian untuk memahami apa yang dibaca.
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullah: Antara tipu daya iblis terhadap orang yang sembahyang ialah mendatangkan waswas pada makhraj huruf. Ada yang membaca ‘al-hamdu… al-hamdu…’ berulang kali sehingga menyebabkannya terkeluar dari adab sembahyang.
Adakalanya iblis mendatangkan kepadanya waswas ketika membunyikan tasydid (huruf bersabdu), dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhad pada kalimah al-maghdhub dalam surah al-Fatihah sehinggakan terkeluar air ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada tasydid (huruf bersabdu) tersebut.
Penyebutan huruf secara keterlaluan dan melampui batas adalah waswas yang didatangkan oleh iblis untuk menyibukkan orang mu’min pada sebutan makhraj sehingga perhatian untuk memahami bacaan berkurangan.
Adapun yang dikehendaki pada bacaan itu adalah menyebut makhraj huruf dengan betul, bukanlah keterlaluan menyebutnya sehingga memberatkan diri sendiri.
Punca timbulnya perasaan waswas dan cara mengatasinya ketika bersembahyang
Waswas timbul kerana lemahnya akal fikiran dan kurangnya ilmu agama.
Oleh yang demikian, bagi mengatasi masalah waswas ketika sembahyang, seorang muslim itu hendaklah mengambil langkah-langkah sebagaimana berikut:
1) Mendalami Ilmu Agama
Mempelajari ilmu mengenai ibadat secara mendalam, dari sudut kebersihan, kaifiat (cara) memasang niat untuk sembahyang, mengangkat takbiratul ihram, bacaan-bacaan yang betul dalam sembahyang dan sebagainya adalah antara perkara yang boleh membantu menjauhi perasaan waswas yang ditimbulkan oleh syaitan.
Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Seorang faqih (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas di hatinya) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil).” (Hadis riwayat at-Tirmidzî)
Menurut Ibnu al-Jauzi Rahimahullah, kejahilan merupakan jalan utama iblis masuk pada diri manusia, iaitu iblis masuk (menghasut dan membisik-bisik waswas pada) orang-orang yang jahil dengan cara aman (mudah). Manakala pada orang yang berilmu, dia mencuri-curi (lantaran susah untuk dia menghasut atau membisik-bisik waswas).
2) Menghadirkan hati untuk khusyuk ketika sembahyang
Salah satu cara yang boleh membantu menghilangkan rasa waswas adalah menghadirkan hati ketika menunaikan sembahyang.
Apabila hati tidak dapat hadir di dalam sembahyang (tidak dapat menjiwai perkataan dan perbuatan sembahyang), maka ia tidak akan kosong, bahkan berputar memikirkan perkara-perkara dunia. Oleh kerana itulah, terdapat antara kita yang zahirnya sembahyang, namun hati dan fikiran melayang di tempat lain.
Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, antara cara menghadirkan hati ketika sembahyang adalah dengan mengosongkan hati dari segala perkara yang mengganggu fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu fikiran itu dapat dicegah dengan menolak penyebabnya.
Apakah penyebab yang menganggu fikiran sehingga kita tidak mampu menghadirkan hati ketika bersembahyang?
Persekitaran
Penyebab persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau ternampak oleh mata.
Seseorang yang kuat niat dan azamnya untuk sembahyang tidak akan terganggu dengan apa yang didengar atau dilihatnya.
Namun, orang yang lemah niat dan azamnya akan bercelaru fikirannya. Maka cara untuk mengatasinya adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau sembahyang di tempat gelap, atau membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersembahyang dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelak dari bersembahyang di tempat laluan atau atas tikar yang berukir.
Diri sendiri
Penyebab dari diri sendiri juga menghalang dari menghadirkan hati ketika bersembahyang, umpamanya sembahyang sambil leka atau hanya untuk menunaikan kewajipan semata-mata. Mengatasi penyebab ini adalah lebih ditekankan.
Antara cara untuk mengatasi penyebab dari dalam diri adalah dengan berusaha mengosongkan fikiran dari hal-hal keduniaan sebelum mengangkat takbiratul ihram dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibaca dalam sembahyang.
Seseorang yang hendak sembahyang perlu mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika dia akan berdiri di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kelak.