Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Watak Fizi buat permohonan maaf

    Penerbit Upin dan Ipin akan membuat permohonan maaf atas kontroversi watak Fizi dalam episod berjudul Syahdunya Syawal yang disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran MNCTV, Indonesia, hingga mencetuskan perbalahan di laman sosial.

    Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya sedang dalam proses menyiapkan video permohonan maaf itu.

    Walau bagaimanapun, Burhanuddin berkata, soal bila dan medium pilihan untuk pernyataan maaf itu disiarkan tertakluk kepada stesen penyiaran di Indonesia, iaitu saluran MNCTV.

    “Disebabkan watak Fizi yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan penonton dan peminat siri animasi ini, dia sendiri yang akan kita tampilkan membuat permohonan maaf.

    “Semua urusan berhubung penyiaran permohonan maaf itu kita kena berurusan dengan stesen televisyen (TV) terbabit.

    Watak Fizi dikecam warganet kerana dialog yang dilafazkan dalam episod Syahdunya Syawal mencetus perbalahan peminat. – Agensi

    “Diharapkan apabila permohonan maaf itu disiarkan, mereka (warganet) akan kembali ‘sejuk’… Insya-Allah,” katanya kepada media.

    Ahad lalu, dialog dilafazkan Fizi dalam episod berkenaan yang menyentuh persoalan di mana syurga untuk anak-anak yatim, telah mencetuskan perbalahan para peminat di Indonesia dan Malaysia.

    Sepantas kilat, komen ‘Fizi is cancelled’ menjadi tular di laman sosial terutama Twitter.

    Burhanuddin berkata, reaksi terhadap dialog Fizi itu membuktikan siri animasi Upin dan Ipin dekat di hati peminat termasuk di Indonesia.

    “Sekalipun karakter animasi ciptaan manusia, apa yang dipersembahkan seolah-olah mereka wujud di alam realiti.

    “Emosi sungguh penonton di Indonesia apabila Fizi melafazkan dialog berkenaan. Jelas mereka sebenarnya sangat sayang dengan watak Upin dan Ipin.

    “Ada sebab dialog dilontarkan Fizi termasuk babak itu diwujudkan. Ini kerana persoalan di mana syurga bagi anak yatim, terus berlegar dalam fikiran kita,” katanya.

    Siri Upin dan Ipin dilaporkan sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda