Ditayangkan secara global di platform Netflix minggu lalu, drama bersiri genre aksi dan sains fiksyen berjudul Black Knight dijanjikan naskhah tidak mengecewakan penonton, lebih lagi, dibarisi bintang K-Drama popular seperti Kim Woo Bin, Esom, Song Seung Hoon dan Kang You Seok.
Menerusi sidang media secara virtual drama arahan sutradara, Cho Ui Seok dari Seoul, Korea, Rabu lalu, BH Online berpeluang menyaksikan temu bual penstriman secara langsung bersama empat tunggak utama termasuk pengarah.
Bintang kacak yang juga hero drama, Woo Bin membawa watak sebagai kesatria yang menghantar oksigen pada manusia untuk kelangsungan hidup.
Won Bin berkata, dia seronok menjayakan drama itu bersama barisan pelakon hebat.
Black Knight diadaptasikan dari siri kartun web berjudul sama, tulisan Lee Yoon Gyun.
Drama bersiri ini berlatar belakang masa depan iaitu 2071, di mana kualiti udara sangat buruk sehingga memberi kesan kepada populasi manusia di muka bumi.
Disebabkan itu, manusia bergantung pada Black Knight, penghantar legenda yang luar biasa.
Black Knight adalah siri pertama yang ditulis dan diarahkan oleh Ui Seok selepas tampil dengan filem Make It Big, The World Of Silence dan Cold Eyes.
Selepas enam tahun berehat kerana bertarung dengan penyakit kanser, ini adalah naskhah baharu yang menampilkan Woo Bin selaku hero.
Pelakon dan model tinggi lampai itu pernah disahkan menghidap nasofarinks, sejenis kanser membabitkan saluran pernafasan dan tekak pada 2017. – Agensi