ISKANDAR PUTERI, 6 Nov (Bernama) — Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz memuji aksi anak buahnya selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Shanghai Shenhua FC dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACL Elite) 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian penting yang mampu meningkatkan keyakinan serta perkembangan pasukan.
“Saya sangat berpuas hati dengan para pemain kerana mereka bekerja keras setiap hari. Hari ini, mereka menunjukkan watak, rentak dan kemampuan mereka, dan mereka bermain dengan sangat baik menentang Shanghai Shenhua,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Munoz berkata perubahan taktikal termasuk pertukaran formasi membolehkan pasukan mengekalkan intensiti serta menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi sepanjang perlawanan.
“Kami boleh bermain pada tahap yang berbeza dan menukar sistem permainan. Hari ini kami menggunakan formasi 4-4-2 dengan intensiti yang baik dari satu bahagian ke bahagian lain. Kami mengawal ruang, melakukan tekanan tinggi dan itu memberikan kesan positif kepada kami,” katanya sambil menekankan fleksibiliti taktikal pasukan.
Munoz turut memuji sumbangan Arif Aiman Mohd Hanapi, sambil menyatakan hantaran Arif kepada Jonathan Silva mencerminkan keserasian pasukan yang baik serta membuka lebih banyak pilihan taktikal.
“Mereka mempunyai hubungan yang baik, dan Arif melakukan hantaran yang sangat tepat kepada Jonathan. Ia bagus untuk Arif dan juga untuk Jonathan,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutsky, mengakui para pemainnya bergelut menghadapi corak permainan berintensiti tinggi JDT dalam kekalahan 3-1 itu.
Beliau berkata jaringan sulung perlawanan menjadi penentu, dengan pemain-pemain berbakat JDT menyukarkan Shanghai Shenhua mencipta peluang gol yang jelas.
“Saya fikir hari ini yang paling penting ialah siapa yang menjaringkan gol terlebih dahulu, kerana selepas kami bolos, kami terpaksa lebih menyerang dan memberikan banyak ruang kepada pemain Johor yang sangat berkemahiran dan itu menjadi sangat sukar bagi kami,” katanya.
Dalam perlawanan itu, JDT memperoleh jaringan melalui Jonathan Silva pada minit ke-47, Oscar Arribas pada minit ke-63 dan Jonathan sekali lagi pada minit ke-87, manakala Saulo Mineiro menjaringkan gol saguhati Shanghai Shenhua menerusi penalti pada minit ke-71.
Kemenangan tersebut melonjakkan JDT daripada kedudukan ke-10 ke tempat kedua Kumpulan A dengan tujuh mata selepas empat perlawanan, sekali gus mengukuhkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati. – Bernama


