LONDON, 29 Nov – Manchester United merapatkan jurang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City kepada lima mata selepas mengalahkan Watford dalam aksi perlawanan awal pagi tadi yang berkesudahan 4-2.
Dua jaringan United dihasilkan oleh Ashley Young dan jaringan lain dihasilkan oleh Anthony Martial dan Jesse Lingard.
Manakala dua jaringan Watford pula dijaringkan oleh Troy Deeney dan Abdoulaye Doucoure.
Gol pertama United dihasilkan pada minit ke-19 selepas Ashley Young melepaskan rembatan dari luar kotak penalti melepasi penjaga gol Watford, Gomez. Selang lima minit kemudian, United diberikan sepakan percuma di luar kotak penalti selepas pemain United dikasari.
Sepakan percuma itu disempurnakan oleh Ashley Young dengan tendangan cantik yang melambung melepasi Gomez, menjadikan jaringan kedua peribadinya untuk perlawanan itu.
Pada minit ke-32, Anthony Martial menambah duka pasukan Watford selepas menjaringkan gol ketiga dalam separuh masa pertama yang menjadikan United mendahului 3-0. Dalam separuh masa kedua, Watford secara beterusan cuba merobek pertahanan United.
Penguasaan bola yang dilakukan Watford telah membuahkan hasil selepas Troy Deeney berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-77 selepas Marcos Rojo mengasari Roberto Pereyra dalam kotak penalti.
Jaringan kedua Watford yang dihasilkan Abdoulaye Doucoure pada minit ke-84 memberi harapan kepada Watford selepas menggandakan jaringan kepada 3-2.
Walau bagaimanapun, pada minit ke-86 harapan Watford untuk menyamakan kedudukan musnah selepas Jesse Lingard membawa bola dari tengah padang dan melepasi pertahanan Watford untuk membuat jaringan ke-4 untuk United. – AFP