Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Watson pertikai perjanjian Jelajah PGA-LIV

    LOS ANGELES, 20 JUN – Legenda golf Amerika Syarikat (AS), Tom Watson kelmarin menyeru Jelajah PGA untuk memberikan butiran penuh mengenai penggabungannya dengan Golf LIV, sambil berkata perjanjian itu telah meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab.

    Dalam surat terbuka yang dihantar kepada pesuruhjaya Jelajah PGA, Jay Monahan, juara kejohanan utama lapan kali, Watson berkata perjanjian mengejutkan yang diumumkan pada 6 Jun telah dijalin ‘tanpa proses yang sewajarnya’.

    Bekas kapten Piala Ryder AS berusia 73 tahun itu mengemukakan beberapa soalan kepada Monahan dalam surat itu sambil bertanya sama ada penggabungan itu didorong oleh keperluan kewangan.

    “Apakah erti penerimaan perkongsian ini kepada Jelajah? Apa yang kita dapat? Apa yang kita korbankan?” tanya Watson. “Mengapa perjanjian ini dilakukan secara rahsia dan mengapa tidak seorang pun daripada pemain yang duduk dalam Lembaga Dasar Jelajah dilibatkan?”

    Di bawah perjanjian yang diumumkan awal bulan ini, Jelajah PGA dan Jelajah Dunia DP telah bergabung dengan Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, yang telah membiayai litar Golf LIV yang baru bermula.

    Watson mengakui bahawa kebangkitan Golf LIV telah mengancam model perniagaan Jelajah PGA, sambil mencipta ‘halangan dan pertempuran yang tidak pernah berlaku sebelum ini, baik dari segi moral mahupun kewangan’. – AFP

    Gambar fail bertarikh 7 April 2022 menunjukkan Tom Watson bersiap sedia untuk memukul dalam upacara permulaan kehormat sebelum pusingan pertama di kejohanan golf Masters di Augusta, Georgia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda