KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Penantian selama 24 tahun untuk melihat kelibat pelari pecut Malaysia dalam acara 100 meter (m) lelaki pada Sukan Olimpik akan berakhir dengan penampilan jaguh negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam temasya itu di Paris bermula bulan ini.
Pelari pecut legenda Malaysia, Watson Nyambek yang merupakan individu terakhir menggalas cabaran negara dalam acara berkenaan pada edisi Sydney 2000, melihat penantian itu mampu berakhir dengan sesuatu yang positif.
Namun, The Flying Dayak berkata Muhammad Azeem perlu dianggap underdog atau bukan pilihan dan berlari bebas tanpa tekanan semasa di Paris, selain meminta pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu menggunakan peluang terbabit dengan sebaiknya untuk menimba pengalaman.
“Pengalaman itu cukup berharga, kita anggap dia (Muhammad Azeem) sebagai underdog, biar tiada tekanan untuk dia, biar dia berasa bebas berlari tanpa tekanan, itu sudah cukup.
“Sebab kalau dia berfikir dia bukan underdog, (tapi) pesaing pilihan, dia membebankan dirinya … kita datang ke sana (Olimpik) pun seperti budak baru lahir.
“Masuk ke zon Olimpik dia akan tengok macam mana atlet dunia bertanding, banyak dia perlu belajar, contoh dari segi warm up lain, jadi dia mesti ambil peluang itu untuk belajar,” kata Watson dalam temu bual khas bersama Bernama di Stadium Miri, Sarawak baru-baru ini.
Sukan Olimpik Paris dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Watson merupakan atlet yang membuat dua penampilan di Olimpik dalam acara sama termasuk edisi Atlanta 1996 sementara seorang lagi bekas jaguh pecut Malaysia dan Asia Tenggara Nazmizan Muhammad hanya membuat kemunculan dalam acara 200m pada edisi 2004 Athens. – Bernama