Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wau dan generasi muda: Mengikat tali warisan di tengah arus teknologi

    BACHOK – Walaupun dihimpit oleh gelombang teknologi yang semakin mendominasi dunia hiburan masa kini, keseronokan dan keunikan wau tradisional masih mampu memikat hati generasi baharu di negeri ini, sekali gus memberi ruang untuk permainan tradisional itu terus ‘bernafas’.

    Meminati permainan itu sejak sekolah rendah, Muhaimi Marzuki, 27, menyifatkan dirinya sebagai ‘peminat tegar’ dan tidak akan menggantikan wau dengan permainan lain termasuk yang berteknologi tinggi seperti dron.

    “Saya mula bermain wau ketika darjah lima bersama-sama dengan rakan sekampung.

    Waktu itu, kami hanya buat sendiri wau gunakan bahan-bahan tradisional yang ada di sekeliling kami,” katanya ketika ditemui Bernama di Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, Pantai Irama.

    Menurut lelaki berasal dari Pengkalan Chepa itu, bermain wau mempunyai kepuasan yang sukar ditandingi oleh permainan moden, terutama ketika melihat wau buatan sendiri terbang tinggi di langit, dikawal tali halus di tangan.

    Para peserta mula menaikkan wau kucing sempena pertandingan kekita ditemui Bernama semasa Pesta Wau Antarabangsa Kelantan di Pantai Irama,Bachok. – Bernama
    Salah seorang peserta yang menyertai Pesta Wau Antarabangsa Kelantan. – Bernama
    ATAS & BAWAH: Antara peserta yang turut serta dalam Pesta Wau Antarabangsa Kelantan bergambar bersama wau milik mereka. – Bernama
    Gambar Bernama

    “Walaupun bermain di tengah panas terik, rasa puas apabila wau yang kita cipta sendiri mampu melayang tinggi itu sangat berbeza dan sukar digambarkan,” jelasnya.

    Tambahnya, wau juga hadir dalam pelbagai bentuk dengan nama tersendiri seperti wau burung, pari, katak, bayan, merak, malah kucing.

    “Setiap wau ini bukan sahaja berbeza dari segi bentuk tetapi juga teknik pengendalian untuk menerbangkannya.

    “Permainan wau memberi ruang kepada saya untuk menjadi ‘jurutera’ kepada rekaan sendiri berbanding permainan moden yang semuanya dikawal oleh komputer dan teknologi,” katanya.

    Walaupun ramai daripada rakan sebayanya kini lebih cenderung kepada permainan digital dan peranti, pemuda itu tetap yakin masih ada generasi muda yang menghargai permainan wau sebagai satu warisan budaya.

    Bagi Muhammad Zulfaiz Daud pula, minat terhadap wau juga mampu membawa penggiatnya ke pentas pertandingan di pelbagai peringkat termasuk antarabangsa.

    “Saya mula jatuh cinta dengan wau pada 2009. Pertama kali memegang tali wau yang terbang tinggi di udara membuatkan saya terus terpikat dengan keseronokan permainan ini.

    “Sejak itu, saya kerap menyertai pertandingan wau yang diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Terengganu, Kelantan, Kedah, Johor dan negeri-negeri lain,” kata lelaki berusia 35 tahun itu.

    Menurutnya, pertandingan wau bukan sahaja menilai setinggi mana alat permainan itu dapat terbang, tetapi juga kecantikan bentuk, saiz, keaslian dan corak wau yang dicipta.

    Permainan itu juga menuntut kemahiran pengendali bagi memastikan wau dapat terbang tinggi, katanya lagi.

    Sementara itu, Muhammad Razi Muhammad Said yang berasal dari Kuala Lumpur, berkata dia telah bergiat dalam permainan wau selama lebih dua dekad.

    “Wau berbeza daripada layang-layang. Wau mempunyai unsur simbolik Malaysia yang terserlah pada corak dan reka bentuk badannya yang tidak ditemukan pada layang-layang dari negara lain,” katanya.

    Menurut Muhammad Razi, pada zaman dahulu, permainan wau hanya dimainkan oleh golongan bangsawan seperti anak raja dan kaum kerabat.

    “Permainan wau ini adalah satu hasil seni tinggalan nenek moyang kita yang sangat bernilai dan tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit.

    “Justeru, anak muda sekarang patut berbangga kerana nenek moyang kita telah mencipta permainan yang boleh diterbangkan di udara tanpa memerlukan teknologi tinggi seperti sekarang,” katanya.

    Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 24 Mei disertai oleh penggiat dari pelbagai negara termasuk penyertaan sulung peserta Ukraine, Jepun dan Korea Selatan.

    Pesta ini merupakan acara tahunan dan edisi ke-42 kali ini diadakan di Pantai Irama di sini berikutan lokasi asal di Pantai Geting, Tumpat sedang dalam proses penambahbaikan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda