Pelakon Aeril Zafrel mendedahkan isterinya, Wawa Zainal terpaksa ditahan di hospital semalam selepas mengalami serangan gastrik sehingga tidak mampu berjalan.
Menurut Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 37, masalah tersebut berpunca daripada sikap Wawa yang terlalu gemar minum air panas, walaupun doktor sudah menasihatkan sebaliknya.
“Wawa kena gastrik semalam, sampai tak boleh berdiri. Terpaksa bawa dia pergi ambil suntikan dan terus masuk wad.
“Saya dah cakap, kalau tak nak pergi hospital awal-awal nanti susah. Dia degil, tapi saya tak ada pilihan lain.
“Gastrik dia agak teruk sebab terlalu kerap minum air panas. Padahal doktor dah nasihatkan, tapi dia tetap nak juga,” katanya kepada Kosmo.
Tambah pelakon Abnormal Buas itu lagi, isterinya hanya ditahan satu malam dan dibenarkan keluar selepas keadaannya kembali stabil.
“Alhamdulillah, dia dah keluar. Moga jadi pengajaran untuk jaga pemakanan lepas ni,” ujarnya pada sidang media.
Dalam perkembangan lain, bapa kepada tiga anak itu mengumumkan penglibatannya sebagai penerbit eksekutif filem Klepet, sebuah filem terbitan bersama komik Under18 dan Studio Respected Citizen.
Filem bergenre komikal itu bakal menampilkan pelakon seperti Aedy Ashraf, Nadhir Nasar serta Meerqeen dan dijadualkan menemui penonton hujung tahun ini di bawah arahan Indra Putra. – Agensi
