Pelakon Aeril Zafrel mengesahkan spekulasi peminat mengenai isterinya yang juga pelakon popular, Wawa Zainal kini berbadan dua.
Menerusi laman Instagram miliknya, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 33 berkongsi berita gembira mengenai kehamilan keempat isterinya dan meluahkan rasa syukur apabila doanya dimakbulkan. Dalam hantaran yang sama, Aeril turut berharap agar mereka dikurniakan lima orang cahaya mata.
“Alhamdulillah ya Allah. Doa dimakbulkan, dapat anak nombor empat. Tinggal nak satu saja lagi,” seloroh Aeril.
Pelakon filem Sabda Kekasih ini juga sempat berkongsi video pendek yang menunjukkan imbasan gambar anak damit dalam kandungan dan Wawa yang kini sedang sarat mengandung. Menjengah ke Instagram Wawa pula, dia teruja menggambarkan kemeriahan keluarganya kelak apabila muncul anak keempat mereka. Difahamkan kandungan pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin, 30 ini sudah memasuki usia tujuh bulan dan dijangka melahirkannya sekitar Oktober.
“Soon berenam Insya-Allah macam mana nak dapat gambar perfect ek. Ini pun baru tiga memang tak dapat yang semua on point,” tulis Wawa.
Aeril dan Wawa telah bernikah pada 25 Februari 2012 dan hasil perkahwinan mereka selama sembilan tahun, pasangan selebriti ini dikurniakan tiga orang cahaya mata berusia antara lapan hingga setahun. – Agensi
