HANOI – Vietnam sekali lagi melakar sejarah dalam penganjuran acara budaya apabila Wilayah Quang Ninh dipilih sebagai lokasi penganjuran Festival Boneka Antarabangsa 2025 yang berlangsung November ini.
Festival tersebut dijangka menghimpunkan pelbagai kumpulan boneka dari seluruh dunia dalam usaha meraikan seni persembahan tradisional, memperkukuh hubungan budaya antarabangsa, serta menonjolkan kekayaan warisan seni Vietnam di mata dunia.
Penganjuran festival berprestij itu telah mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, dengan Jabatan Seni Persembahan yang bertanggungjawab sebagai penyelaras utama bersama beberapa agensi berkaitan.
Menurut kenyataan kementerian, festival tersebut bukan sahaja bertujuan mempersembahkan keindahan seni boneka, tetapi juga berperanan sebagai platform pertukaran budaya antara artis dalam dan luar negara, sekali gus memperkayakan pengalaman kreatif masyarakat seni.
Salah satu tarikan utama festival itu ialah persembahan wayang air iaitu seni tradisional Vietnam yang telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan budaya tidak ketara negara. Wayang air merupakan seni persembahan unik yang lahir daripada kehidupan masyarakat petani di kawasan sawah padi dan sungai, dengan menggunakan air sebagai pentas serta boneka kayu sebagai watak.



Seni tersebut yang semakin mendapat perhatian antarabangsa akan menjadi simbol utama Vietnam dalam memperkenalkan khazanah budaya kepada dunia sepanjang festival.
Selain memperkenalkan seni warisan Vietnam, festival itu juga menjadi medan penting untuk artis Vietnam mempelajari bentuk-bentuk seni boneka antarabangsa.
Kehadiran kumpulan boneka dari pelbagai negara akan membuka peluang kepada penggiat seni untuk berkongsi pengalaman, menimba inspirasi baharu serta memahami kepelbagaian ekspresi budaya dalam dunia persembahan boneka.
Hal tersebut diharap dapat memperkayakan lagi landskap seni tanah air dan memperkukuh jati diri budaya negara.
Menurut penganjur, sekitar 12 hingga 15 kumpulan antarabangsa akan mengambil bahagian.
Mereka dijangka mempersembahkan pelbagai genre boneka seperti boneka air, boneka kayu, boneka tangan, wayang kulit dan boneka topeng.
Setiap persembahan akan dipentaskan di beberapa lokasi di Quang Ninh, khususnya di kawasan Teluk Ha Long, sebuah tapak warisan dunia UNESCO yang terkenal dengan keindahan landskap semula jadi.
Pemilihan lokasi itu dianggap tepat kerana bukan sahaja menyediakan latar indah bagi persembahan seni, tetapi juga berpotensi memperkukuh imej Vietnam sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan.
Bagi memastikan kualiti penganjuran, pihak kementerian menetapkan beberapa garis panduan. Karya yang pernah dipersembahkan dalam festival terdahulu di Vietnam tidak dibenarkan untuk didaftarkan semula, dengan tujuan memastikan elemen baharu, kreativiti dan keadilan.
Untuk kumpulan tempatan, syarat utama adalah karya mesti mencapai tahap artistik yang tinggi, manakala bagi kumpulan antarabangsa, karya yang dipersembahkan perlu mencerminkan identiti kebangsaan mereka yang kuat serta menonjolkan nilai artistik yang luar biasa.
Selain menjadi ruang persembahan, festival itu juga berperanan sebagai wadah penilaian objektif terhadap kedudukan semasa seni boneka, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Hasil daripada festival itu, agensi budaya Vietnam dijangka dapat merangka strategi jangka panjang dalam usaha memelihara serta mengembangkan seni boneka sebagai sebahagian daripada khazanah budaya negara.
Lebih penting lagi, festival itu dilihat mampu menyumbang kepada usaha memperluaskan pengaruh budaya Vietnam di peringkat global.
Melalui seni boneka, imej Vietnam sebagai sebuah negara dengan keindahan semula jadi yang menawan, masyarakat yang mesra, warisan budaya yang kaya serta sejarah kepahlawanan yang gemilang dapat ditonjolkan kepada masyarakat antarabangsa.
Festival itu bukan sahaja meraikan seni, tetapi juga memperkukuh diplomasi budaya dan menyokong pembangunan pelancongan berasaskan warisan.
Dengan pendaftaran dibuka sehingga 25 Oktober, festival itu kini giat dipromosikan oleh pelbagai pihak sebagai acara budaya berskala besar yang tidak wajar dilepaskan.
Kehadiran kumpulan antarabangsa dijangka akan memberi warna baharu kepada festival, manakala persembahan wayang air Vietnam pasti akan menjadi tumpuan utama, sekali gus mengangkat seni boneka tradisional Vietnam ke pentas dunia. – ANN/Vietnam News
