Oleh Mohamad Asyramisyanie & Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Kelab Boling Padang Wisdom (WBC) dari Negara Brunei Darussalam sekali lagi akan menyahut cabaran di Kejohanan Boling Padang Pairs Terbuka Sabah yang akan berlangsung pada 2 hingga 5 November ini.
WBC akan menghantar lima pasukan untuk menggalas misi ini dengan menggabungkan pasukan remaja, pelapis dan juga veteran.
Menurut kenayataan WBC, Selain misi untuk menaiki podium di kejohanan ini, objektif WBC menyertai kejohanan ini ialah untuk dijadikan sebagai persiapan dan sukat-sukat sebelum mengharungi Kejohanan Boling Padang Berpasukan Piala Presiden Kali Ke-3 & Remaja Bawah-21 tahun Kali Kedua yang akan diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan hujung tahun ini.
Presiden WBC, Awang Haji Johari Achee yang hadir di hari terakhir latihan intensif semalam menyatakan sokongan penuhnya kepada semua pemain untuk meraih kecemerlangan demi mengharumkan nama negara, sekali gus mengangkat imej WBC serta sukan boling padang di negara ini sebagai kesinambungan kepada kejayaan pasukan negara di Temasya Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Haji Johari lagi dalam kenyataannya WBC, disiplin pemain semasa berada di luar negara perlu dititikberatkan memandangkan para pemain akan menjadi duta kecil negara dalam bidang sukan.
Beliau menambah bahawa Imej negara adalah wajib dijaga dan dipertahankan meskipun dalam keadaan penat lelah menjalankan tugas bertanding dalam acara sukan.
Lima Pasukan WBC yang terdiri dari 10 pemain akan bertolak ke Kota Kinabalu Sabah hari ini, dengan diketuai oleh Ketua Jurulatih WBC, Haji Abdul Ghafar bin Pehin Orang Kaya Laksamana Dato Seri Setia Haji Mohd Taha.
Kejohanan Boling Padang Pairs Terbuka Sabah ini akan turut disertai beberapa pemain berpengalaman di rantau
Kepulauan Borneo termasuk beberapa pasukan dari Semenanjung Malaysia. Cabaran yang akan dihadapi masih dianggap sengit, justeru, latihan intensif sudah diadakan sejak beberapa minggu yang lepas menjelang kejohanan ini nanti.
Ketua Jurulatih WBC, Haji Abdul Ghafar memberitahu media bahawa meskipun kejohanan kali ini dianggap sebagai sukat-sukat dan juga persiapan bagi Kejohanan Piala Presiden di Labuan nanti, namun dia tetap meletakkan sasaran tinggi agar sekurang-kurangnya ada pasukan WBC yang berjaya melepasi halangan suku akhir di Kota Kinabalu itu nanti.
Kejohanan ini akan membuka tirainya esok (Khamis) di Gelanggang Boling Padang Kompleks Sukan Likas, Sabah.