Wednesday, July 17, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    WCOPA: Kembar dari Sarawak pamer bakat di pentas dunia

    KUCHING, 24 JUN – Pasangan kembar berbakat dari Sarawak, Aleysha dan Ryan Zachary Shareef, 11, berlepas ke Kuala Lumpur hari ini bagi mewakili Malaysia dalam Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) 2024 yang dijadualkan pada 28 Jun hingga 6 Julai ini di Long Beach, California, Amerika Syarikat.

    Mereka dipilih untuk menyertai pasukan Malaysia selepas membuat persembahan dalam kategori vokal dan peragaan 11-12 junior pada pertandingan akhir WCOPA peringkat kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur Januari lepas.

    Ibu kepada pasangan kembar berkenaan, Shirley Hasmani Eddie berkata Aleysha dan Ryan Zachary telah menjalani latihan intensif untuk vokal dan peragaan sejak dua bulan lepas.

    Beliau berkata kedua-dua anaknya mula mengikuti kelas muzik sejak berusia enam tahun namun dia tidak pernah menyangka mereka akan berada di pentas dunia sepantas ini untuk Malaysia dan diri masing-masing.

    “Saya gembira mereka telah capai tahap ini tetapi kami akui pelbagai usaha keras perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini.

    Shirley Hasmani turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menaja perbelanjaan pasangan kembar itu dan penyokong yang memberi sumbangan.

    Aleysha akan menyanyi solo dalam tiga genre vokal iaitu rock dan balada, pop serta broadway dengan pakaian formal dan kasual dalam kategori peragaan selain dua duet vokal dalam pelbagai dan pop bersama Ryan Zachary.

    Ryan Zachary menyertai genre vokal pop dan terbuka dengan pakaian formal dan kasual dalam peragaan selain duet bersama Aleysha. – Bernama

    Gambar Utusan Borneo
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Nepal, India kerjasama cari mayat hilang tragedi bas hanyut

    KATHMANDU, 17 JULAI – Pihak berkuasa tempatan sedang berkerjasama dengan pegawai sempadan daerah India untuk mencari mayat dalam kemalangan Simaltal, di mana tanah runtuh...