WEB lancar Khatam 75 Kali

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Pertubuhan WARGAMAS Brunei (WEB), hari ini, telah melancarkan 75 kali Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75, tahun 2021.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen (PMAM), Kampung Mulaut, di sini.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah manakala itu, Pegawai Hal Ehwal Masjid PMAM, Haji Khairul Nizam bin Haji Mohd Said pula memimpin bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang diikuti bersama oleh para jemaah peserta khatam secara berama-ramai.

Terdahulu, Yang Di-Pertua pertubuhan WEB, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa program mulia yang mengagungkan Al-Quran berkenaan merupakan usaha istiqamah sebagai matlamat baharu pertubuhan berkenaan.

Menurut beliau lagi, ia juga sebagai pasambah isitimewa WEB bersama-sama dengan warga emas seluruh negara ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

“Sekali gus program ini juga merupakan sebagai tanda syukur dan memeriahkan lagi sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-75, pada tahun 2021 iaitu jubli intan,” tambah beliau.

Majlis diserikan Tadabur Surah Al-Fatihah yang disampaikan oleh Raes Kolej Universiti Penguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Besar.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menyertai Khatam 75 kali WEB.